Contohi kerajaan Persekutuan beri peruntukan kepada pembangkang - ADUN Penanti

Zulkefli
Zulkefli
A
A
A

GEORGE TOWN - Hasrat kerajaan Persekutuan untuk memberikan peruntukan kepada pembangkang perlu dicontohi kerajaan negeri Pulau Pinang bagi memastikan rakyat di setiap kawasan mendapat hak yang adil, bukan menjadi mangsa permainan politik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Zulkefli Bakar berkata, ketika ini kawasan pembangkang hanya diberikan peruntukan RM60,000 setahun untuk disalurkan kepada pembangunan infrastruktur yang dikawal selia oleh pejabat daerah.

Menurutnya, berbeza dengan kawasan ADUN kerajaan yang mendapat peruntukan RM500,000 setahun dan boleh dimanfaatkan dengan pelbagai pembangunan selain mampu menyelesaikan sebarang masalah serta aduan rakyat.

"Bayangkan hanya peruntukan RM60,000 setahun itu sahaja yang kami terima dan sekiranya ada minta bantuan serta mengadu masalah mungkin ada sedikit kekangan dan perlu mengambil sedikit masa untuk diselesaikan.

"Jangan biarkan rakyat menjadi mangsa keadaan dek kerana politik dendam. Semua yang terkesan kebanyakan pengundi Melayu di 11 kawasan pembangkang di negeri ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, Zulkefli yang juga Pengerusi Perhubungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulau Pinang berkata, pembangunan yang seimbang di semua kawasan di negeri ini perlu dibuat oleh kerajaan negeri dan tidak sepatutnya ada kawasan dipinggirkan meskipun ia dikuasai oleh pembangkang.

Jelasnya, sekiranya sentimen kawasan pembangkang terus dimainkan dan dipinggirkan oleh kerajaan negeri, ia tidak mencerminkan aspirasi dan visi Penang2030 yang kini sedang diusahakan.

"Ketua Menteri dalam ucapan pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yang di-Pertua Negeri di Dewan Millenium baru-baru ini memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan hulurkan bantuan serta peruntukan banyak, berbilion-bilion untuk projek pembangunan di Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

"Kita harap kerajaan negeri boleh berlaku adil dengan tidak meminggirkan kawasan pembangkang kerana rakyat di kawasan kami juga berhak menerima manfaatnya," katanya lagi.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada dasarnya bersetuju untuk mempertimbangkan bagi menyalurkan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat di Sri Perdana, Putrajaya.

Sehubungan itu katanya, satu draf Memorandum Persefahaman (MoU) akan dirangka terlebih dahulu.

Menurutnya, draf itu kemudian akan dipanjangkan kepada pihak pembangkang sebagai langkah untuk perundingan seterusnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!