Tutup kedai makan 24 jam tidak jamin pengguna cari alternatif lain

Dr Dzulkefly
Dr Dzulkefly
A
A
A

PUTRAJAYA - Penutupan kedai makan 24 jam seperti cadangan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) tidak menjamin pengguna tidak akan mencari alternatif lain.

Sebaliknya kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, ia harus mengambil kira keseluruhan sumber makanan yang mudah didapati di Malaysia seperti mi segera dan makanan berkelah.

"Setiap individu bertanggungjawab ke atas tabiat pemakanan dan gaya hidup mereka," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sulaman Kasih Aidilfitri Kementerian Perpaduan Negara di sini pada Rabu.

Ujar beliau, sebarang perubahan tingkah laku individu memerlukan tahap kesedaran dan literasi kesihatan yang tinggi.

"Satu daripada tiga individu mempunyai tahap literasi kesihatan yang rendah," jelasnya.

Pada Selasa, Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader menggesa lesen operasi 24 jam yang diberikan kepada kedai makan dimansuhkan.

Ia berikutan kajian menunjukkan terdapat kesan negatif akibat tabiat makan lewat malam seperti berat badan bertambah, gangguan tidur dan masalah penghadaman.

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, terdapat kumpulan tertentu yang bergantung kepada perkhidmatan kedai makan 24 jam seperti petugas barisan hadapan iaitu polis, bomba, doktor, jururawat, petugas keselamatan dan lain-lain.

Artikel Berkaitan:

"Menghentikan perkhidmatan secara pukal akan menyebabkan kesukaran kepada mereka," katanya sambil menambah pihaknya akan memperhalusi cadangan CAP dengan menyediakan kertas cadangan untuk tindakan lanjut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!