Isu royalti jadi tumpuan sidang DUN Terengganu

Maliaman (kiri) dan Satiful Bahri
Maliaman (kiri) dan Satiful Bahri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Rabu terus tertumpu mengenai isu tunggakan pembayaran royalti oleh kerajaan Pusat.

Beberapa Exco yang berhujah pada sesi soal jawab lisan mengetengahkan isu berkaitan kekangan kewangan yang dialami kerajaan negeri ketika ini disebabkan kelewatan pembayaran royalti tersebut.

Menyentuh mengenai isu itu, Dr Tengku Muhamad Fakhruddin Tengku Md Fauzi (Pas-Sura) mempersoalkan rasional di sebalik pemberian elaun RM300 sebulan yang diterima oleh guru-guru al-Quran yang mengajar di kampung ketika ini.

Menurutnya, jumlah tersebut dilihat tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan bulanan memandangkan keadaan semasa ekonomi yang semakin mencabar memerlukan sekurang-kurangnya bayaran minimum RM500 hingga RM1,000 bagi guru al-Quran.

"Jumlah gaji ini menyebabkan kurangnya permohonan daripada golongan muda yang berminat untuk menjadi guru al-Quran di kampung," katanya.

Menjawab persoalan dikemukakan, Datuk Satiful Bahari Mamat (Pas-Paka) merangkap Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri Terengganu berkata, jumlah tersebut tidak termasuk gaji guru al-Quran sebaliknya merupakan bayaran elaun bulanan.

"Kerajaan negeri boleh beri (naikkan elaun) sampai RM1,000, tapi harap kerajaan pusat bagi habis lah royalti itu," katanya.

Sementara itu, Maliaman Kassim (Ajil-Pas) selaku Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional berkata, pihaknya akan menambah peruntukan dalam tabung bantuan rakyat iaitu Tabung Darul Iman jika kerajaan pusat membayar wang royalti.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah permohonan daripada rakyat (bagi mendapatkan bantuan Tabung Darul Iman) memang banyak dan ada beberapa kategori melalui tabung ini seperti sakit kronik dan bantuan perubatan.

"Kerajaan negeri akan menambah peruntukan dalam tabung ini untuk memastikan lebih ramai pesakit dan golongan memerlukan mendapat manfaatnya tanpa mengambil masa menunggu yang panjang," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Mohd Zawawi Ismail (Bersatu-Telemong) mengenai masalah dialami rakyat di kawasannya setiap kali membuat permohonan daripada tabung berkenaan.

Kata beliau, banyak aduan diterima memberitahu bantuan yang diterima agak lewat sekali gus menjejaskan rawatan kesihatan yang diterima.

............................................................................................................

REE: Pastikan beri pulangan hasil tinggi kepada Terengganu

KUALA TERENGGANU - Terengganu perlu memastikan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang terdapat di negeri itu dapat memberikan pulangan untuk dimanfaatkan sepenuhnya pada masa akan datang.

Zaharuddin Zahid (Pas-Bukit Tunggal) berkata, satu pelan jangka sederhana dan jangka panjang perlu dirangka bagi memastikan sumber berkenaan memberikan pulangan hasil yang tinggi.

Katanya, Malaysia mempunyai simpanan yang besar bagi tiga elemen NR-REE yang di anggarkan bernilai 15.2 juta tan metrik dengan nilai komersial sebanyak RM1 trilion.

"Menurut Prof Madya Mohd Yusri Mohd Yunus dari Universiti Malaysia Pahang, NR-REE ini dijangka boleh mencapai harga sehingga RM2 juta setiap tan metrik dengan jumlah pasaran bernilai RM 809.6 billion.

"Tiga element NR-REE yang banyak didapati di Terengganu, Kelantan, Perak, Pahang dan Kedah adalah seperti Praseodymium, Neodymium dan Dysprosium.

"Kesemua tiga elemen itu diperlukan dalam pembuatan magnet berkuasa tinggi yang menghasilkan motor elektrik untuk kegunaan kenderaan hibrid dan elektrik yang mempunyai permintaan yang sangat tinggi pada masa sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, pada Rabu.

Tambahnya, industri huluan (up-stream) iaitu perlombongan dan industri pertengahan (mid-stream) iaitu pengabstrakan, hanyalah sebahagian kecil berbanding dengan nilai rantaian keseluruhan.

"Namun, ia amat penting untuk menyokong industri hiliran (down-stream) yang sangat bernilai tinggi.

"Oleh itu, Bukit Tunggal berharap kerajaan negeri akan memberikan perhatian yang serius terhadap sumber pendapatan baharu ini," katanya.

Dalam pada itu, Zaharuddin meminta kerajaan negeri menjelaskan status terkini berhubung Majlis Pembangunan Negeri Terengganu (MPNT).

Katanya, majlis itu diwujudkan bagi memastikan setiap pembangunan di seluruh negeri di bawah peruntukan Persekutuan dapat dijalankan secara sempurna dan dapat memberikan pulangan terbaik kepada rakyat.

"Majlis Pembangunan ini akan dipengerusikan secara bersama antara

Menteri Besar dan seorang menteri daripada Pusat.

"Bukit Tunggal inginkan kepastian dari pihak kerajaan negeri, siapakah wakil menteri dari pusat dan berapa kalikah MPNT ini telah bermesyuarat bagi memastikan projek-projek kerajaan pusat di Terengganu dapat berjalan dengan lancar," ujarnya.