ADUN Ayer Keroh bantah zon bebas kenderaan 54 jam

Laporan Sinar Harian (kiri), Chee Yee
Laporan Sinar Harian (kiri), Chee Yee
A
A
A

MELAKA - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee membantah inisiatif zon bebas kenderaan di bandar Melaka yang berlanjutan sehingga 54 jam selain tidak bersetuju dengan pertukaran arah jalan di kawasan sekitar seperti Jalan Bukit Cina.

Menurutnya, sebelum ini beliau juga pernah menyatakan pendiriannya tidak bersetuju dengan cadangan tersebut, atas sebab ketidaksediaan kawasan terbabit dari segi pengangkutan awam dan parkir kenderaan yang boleh dijadikan alternatif bagi mengurangkan kesesakan kepada penutupan jalan itu.

"Apabila pengumuman tentang penutupan zon bebas kenderaan dibuat sekitar bulan Mei tahun lalu, saya pernah menyatakan pendirian tidak bersetuju.

"Tambahan pula, laluan yang ditutup merupakan laluan utama yang diguna pakai penduduk dan rakyat negeri ini setiap hari," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau mendakwa inisiatif di bawah kerajaan negeri itu terbukti gagal serta mendatangkan lebih banyak kesan buruk daripada kesan baik.

Chee Yee berkata, secara dasar kerajaan negeri harus berusaha ke arah zon bebas kenderaan seperti mana yang dilaksanakan di beberapa negara pelancongan yang lain, namun ia tertakluk kepada cara pelaksanaan dan perlu melihat kepada keadaan semasa lokasi tersebut, seperti sistem pengangkutan awam dan kawasan letak kenderaan.

"Ini adalah sebab kenapa inisiatif zon bebas kenderaan tidak dilaksanakan pada zaman pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di Melaka pada tahun 2018.

"Sebenarnya ada aspek lain yang perlu ditambah baik dulu sebelum zon bebas kenderaan boleh dilaksanakan dengan lebih berkesan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, walaupun kawasan yang terlibat dalam pewujudan zon bebas kenderaan dan pertukaran arah jalan tidak membabitkan kawasan DUN Ayer Keroh, namun beliau percaya inisiatif itu akan memberi impak kepada sektor pelancongan dan sektor ekonomi dalam negeri Melaka.

"Jadi saya meminta pihak kerajaan negeri dan kerajaan tempatan MBMB agar mempertimbangkan pembatalan inisiatif tersebut yang berlanjutan sehingga 54 jam.

"Ia memberi kesan negatif kepada sektor ekonomi, sektor pelancongan dan meningkatkan pembebasan karbon," ujarnya.

Sebelum ini, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, penutupan jalan itu masih di peringkat percubaan dan kajian terperinci juga sedang dilakukan dari pelbagai aspek khususnya penyuraian trafik bagi melancarkan perjalanan kenderaan masuk ke kawasan berkenaan.

Menurutnya, kerajaan Melaka tidak pernah menzalimi atau ingin menganiaya peniaga kecil dan sederhana di sekitar Banda Hilir di sini yang terlibat dengan penutupan jalan sempena pelaksanaan zon bebas kenderaan selama tiga hari pada setiap minggu bermula Jumaat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!