PRN Melaka: Ginie Lim manfaat platform digital interaktif dekati pengundi Machap Jaya

Ginie menunjukkan laman sesawang informasi calon Pakatan Harapan DUN Machap Jaya. Foto: Bernama
Ginie menunjukkan laman sesawang informasi calon Pakatan Harapan DUN Machap Jaya. Foto: Bernama
A
A
A

MELAKA - Calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, Datuk Ginie Lim Siew Lin, memanfaatkan platform digital interaktif sebagai medium mendekati pengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, serta meningkatkan kefahaman mereka mengenai proses pilihan raya.

Beliau berkata, melalui laman web https://ginielim.com/, pengundi boleh mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan calon termasuk biodata, latar belakang, manifesto serta aktiviti jelajah kempen, selain berinteraksi menerusi saluran komunikasi yang disediakan.

Ginie berkata, antara ciri menarik platform itu ialah permainan interaktif yang menetapkan sasaran 8,015 klik dalam masa 90 saat, sebagai galakan kepada pengguna untuk mengambil bahagian, selain permainan simulasi bagi memberi pendedahan mengenai kaedah pengundian yang betul.

Tambahnya, permainan simulasi itu disediakan khusus bagi membantu pengundi kali pertama memahami proses menanda kertas undi, termasuk kepentingan membuat hanya satu tanda yang betul pada ruang calon pilihan mereka bagi mengelakkan undi rosak.

"Selain itu, terdapat permainan berasaskan situasi yang membolehkan pengundi memilih cadangan penyelesaian terhadap isu tertentu, termasuk kesukaran individu yang menggunakan kerusi roda untuk keluar dari rumah.

"Platform ini turut memaparkan manifesto saya yang berteraskan empat perkara utama iaitu Khidmat Mesra, Komuniti Selamat, Hidup Sejahtera dan Ekonomi Maju,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Menurut Ginie, pengundi juga boleh mendapatkan maklumat mengenai aktiviti jelajah, serta menghubungi pasukan calon menerusi aplikasi WhatsApp yang dihubungkan pada laman web berkenaan.

Beliau berkata, platform itu, boleh diakses menerusi pelayar web tanpa memerlukan pengguna memuat turun aplikasi, sekali gus memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat yang disediakan.

"Inisiatif ini dibangunkan dengan mengambil kira kebimbangan terhadap penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI). Dalam konteks pilihan raya, saya agak sedih sekiranya ada pihak menggunakan AI untuk memburukkan pihak lawan, justeru saya bersama dengan pasukan memikirkan cara kreatif dan inovatif untuk mendekati pengundi.

Artikel Berkaitan:

"AI boleh digunakan untuk pelbagai tujuan dan fungsi. Jadi kita memikirkan kaedah yang lebih interaktif bagi menyampaikan maklumat, serta membantu pengundi membuat pilihan berdasarkan maklumat yang diperoleh,” jelasnya.

DUN Machap Jaya menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Lim dan penyandang Datuk Ngwe Hee Sem daripada Barisan Nasional serta Prasanth Kumar Brakasam daripada Parti Bersama Malaysia.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal PRN Melaka ke-16 hari ini, manakala hari pengundian pada 14 November. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!