Scam SMS kembali aktif, rekod kerugian lebih RM200,000

Ramli (tengah) ketika sidang akhbar di Menara KPJ pada Jumaat.
Ramli (tengah) ketika sidang akhbar di Menara KPJ pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penipuan sistem pesanan ringkas (SMS) melalui mesej pautan dikesan kembali aktif dengan 18 kes dilaporkan membabitkan kerugian berjumlah RM229,868 tahun ini sejak 1 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, statistik setakat 17 April itu mendapati mangsa dilaporkan menerima SMS kononnya daripada syarikat telekomunikasi terkenal dalam negara.

Menurutnya, kandungan SMS terbabit menyatakan mangsa mempunyai mata ganjaran yang bakal tamat tempoh dan digesa untuk segera menebus mata ganjaran melalui pautan yang disertakan.

“Mangsa yang menekan pautan terbabit akan diminta untuk memasukkan maklumat perbankan secara dalam talian milik mereka termasuklah nombor OTP yang diterima.

“Mangsa kemudiannya akan mendapati wang daripada akaun bank mereka berkurangan,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ pada Jumaat.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang ramai diingatkan jangan mudah terpedaya, dapatkan pengesahan daripada syarikat telekomunikasi yang berkaitan sekiranya menerima SMS yang meragukan serta usah sesekali berkongsi maklumat perbankan serta nombor OTP dengan mana-mana pihak yang tidak dikenali.

Dalam kes berlainan, mengenai kes tular di media sosial berkenaan pemberian hadiah percuma yang diagihkan dari rumah ke rumah dipercayai merupakan taktik baharu penipuan.

Ramli berkata, berdasarkan kes yang tular itu, dapat dilihat hadiah berupa botol air yang diagihkan mempunyai cetakan ‘QR Code’ yang apabila diimbas kononnya akan membolehkan orang ramai memenangi kupon tunai bernilai RM200.

Artikel Berkaitan:

"Hakikatnya apabila diimbas, mangsa akan diminta untuk memasukkan maklumat perbankan yang kemudiannya akan mengakibatkan mangsa kehilangan wang daripada akaun banknya.

"Diingatkan, ini merupakan satu cubaan penipuan melalui kaedah 'phishing' dan orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengimbas QR code yang diberikan," ujarnya.

Tegasnya, setakat ini, tiada sebarang laporan polis diterima, namun taktik ini harus dihebahkan kepada setiap lapisan masyarakat sebagai informasi dan langkah pencegahan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!