'Scammer' hantar pautan melalui SMS perdaya mangsa

Ramli Mohamed Yoosuf
Ramli Mohamed Yoosuf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) mengesan modus operandi penipuan baharu sindiket 'scamming mobile base station' yang cuba memperdaya mangsa menerusi penghantaran pautan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket itu mewujudkan 'based transceiver station' (BTS) yang palsu untuk menarik pengguna talian dari telekomunikasi yang berbeza serta menukar rangkaian jalur lebar 4G kepada 2G.

"Melalui perkongsian maklumat dengan sebuah syarikat telekomunikasi, sindiket menggunakan teknik 'man in the middle' (MiTM) bagi menghantar SMS penipuan kepada pengguna talian telefon bimbit.

"Apabila telefon bimbit mangsa telah memasuki rangkaian BTS milik sindiket, SMS yang mengandungi skrip penipuan (pautan phishing) dihantar daripada 'short code SMS (spoofing) yang sebenar," katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.

Ramli berkata, mangsa yang menekan pautan diberikan akan dibawa kepada 'mobile website' palsu yang menawarkan barangan elektronik murah yang dicipta oleh sindiket.

"Mangsa yang tertarik dengan tawaran harga murah tersebut seterusnya akan membuat pembayaran melalui 'payment gate way'.

"Semasa membuat pembayaran, jumlah yang tertera adalah jauh lebih tinggi daripada jumlah yang ditawarkan," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang tidak memeriksa jumlah bayaran dengan betul serta meluluskan bayaran akan kehilangan wang serta-merta dan barang yang dipesan juga tidak diterima.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, tidak dapat dipastikan berapa jumlah mangsa yang telah diperdaya oleh sindiket itu," katanya.

Menurutnya, sebagai langkah berhati-hati, orang ramai dinasihatkan untuk tidak menekan sebarang pautan yang dihantar melalui SMS.

"Ia juga adalah selaras dengan pengumuman Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada 28 April tahun lalu yang tidak lagi membenarkan penghantaran pautan melalui SMS," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28