Anak Malaysia cipta nama di Jepun

Dr Bazilah satu-satunya pelajar asing terima Anugerah Pelajar Terbaik Universiti Nagoya Institute of Technology

Dr. Bazilah (depan, tiga dari kiri) bergambar bersama semua calon PhD Nagoya Institute of Technology, Jepun yang berjaya menamatkan pengajian mereka Mac lalu.
Dr. Bazilah (depan, tiga dari kiri) bergambar bersama semua calon PhD Nagoya Institute of Technology, Jepun yang berjaya menamatkan pengajian mereka Mac lalu.
A
A
A

NAGOYA - Kejayaan demi kejayaan anak Malaysia dalam bidang akademik di peringkat antarabangsa sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Terbaharu, Dr Bazilah Baharom, anak kelahiran Pulau Pinang mengharumkan nama Malaysia apabila menerima Anugerah Naib Presiden daripada Universiti Nagoya Institute of Technology, Jepun untuk Kajian Paling Cemerlang (Outstanding Research) dari tahun 2022-2023.

Anugerah Naib Presiden ini turut melayakkan beliau menerima wang tunai berjumlah RM2,000.00 (50,000 Yen).

Dr Bazilah sendiri tidak menyangka berjaya menerima anugerah tersebut memandangkan beliau merupakan satu-satunya calon pelajar asing peringkat kedoktoran atau PhD yang melanjutkan pengajian di Jabatan Kejuruteraan Elektrikal dan Mekanikal di universiti tersebut.

“Anugerah ini sangat bermakna untuk saya kerana banyak pengorbanan yang telah saya buat untuk memastikan saya berjaya menamatkan pengajian ini.

“Kejayaan saya ini bermula sejak pembelajaran peringkat Sarjana Muda dan Sarjana (Master) lagi di Jabatan Kejuruteraan Elektrikal, Kolej Kejuruteraan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

“Saya berangkat ke Jepun pada bulan Oktober 2020 dan saya wajib mengikuti kelas intensif bahasa Jepun selama enam bulan,” ujarnya.

Dr Bazilah bergambar dengan penyelia tesis beliau, Prof. Kunio Sakakibara dari Nagoya Institute of Technology, Jepun.
Dr Bazilah bergambar dengan penyelia tesis beliau, Prof. Kunio Sakakibara dari Nagoya Institute of Technology, Jepun.

Artikel Berkaitan:

Kajian Phd Dr Bazilah bertajuk “Kajian Ketinggian dan Kerendahan Profil dan Teknik Ketinggian Efisiensi untuk Kanta Antena Dialetrik dalam 300-GHz Band” (A Study on Low-Profile and High-Efficiency Techniques of Dielectric Lens Antenna in 300-GHz Band).

Beliau juga berjaya membentangkan dua jurnal berimpak tinggi (IEEE High Impact Factor) dan tiga kertas kerja seminar antarabangsa di Malaysia (dua) dan Australia (satu) serta tiga kerja kerja seminar peringkat kebangsaan di Jepun (kesemua kertas kerja tersebut ditulisnya sebagai penulis pertama.

“Bagi pengajian peringkat Sarjana (Master) pula, fokus penyelidikan saya melibatkan bidang Aplikasi Rekabentuk Antena 5G Untuk Aplikasi Telefon Pintar atau Alat Komunikasi Kecil (Antenna Design Application for Future 5G Applications Such as Smartphone or Small Communication Devices).

“Topik atau tajuk tesis saya ialah “Kepelbagaian Elemen Rekabentuk Antena PIFA MIMO 15 GHz Untuk Teknologi Masa Hadapan 5G (Multiple-element PIFA MIMO Antenna Design at 15 GHz for Future 5G Wireless Technology).

“Saya berminat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan peringkat Sarjana Muda (2016-2017) dan Sarjana (2018 -2020). Keterujaan saya menjadi realiti apabila mendapat galakan daripada Allahyarham Prof Dr Tarmizi Ali (bekas Ketua Jabatan Pusat Kajian Antena-ARC, Kolej Kejuruteraan,UiTM Shah Alam) dan Dr Nurul Huda Abd Rahman (kini Ketua Jabatan Pusat Kajian Antena - ARC, Kolej Kejuruteraan UiTM Shah Alam),” katanya.

Jelas Dr Bazilah lagi, kedua-dua individu berkenaan menjadi inspirasi untuk beliau melanjutkan pengajian peringkat PhD dengan harapan suatu hari nanti boleh bergelar seorang pensyarah, membuka makmal kajian sendiri dan dapat membimbing lebih ramai pelajar tempatan membuat penyeldikan berteknologi tinggi serta mampu berkolaborasi dengan universiti dan institut dari luar negara.

Dr Bazilah ketika menerima Anugerah Naib Presiden daripada Presiden Universiti Nagoya Institute of Technology, Jepun bagi Kajian Paling Cemerlang dari tahun 2022 hingga 2023.
Dr Bazilah ketika menerima Anugerah Naib Presiden daripada Presiden Universiti Nagoya Institute of Technology, Jepun bagi Kajian Paling Cemerlang dari tahun 2022 hingga 2023.

Menurut beliau lagi, pada akhir 2019, Dr Nurul Huda membuat kolaborasi kajian dengan Prof Dr Yamada Yoshihide dari Malaysia-Japan International Institute of Technology, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur. Kajian mereka turut berkolaborasi dengan Nagoya Institute of Technology.

“Prof. Kunio Sakakibara dari Nagoya Institute of Technology menawarkan saya untuk menyambung pengajian PhD di bawah seliaan beliau kerana beliau berminat dengan bidang kajian saya di Malaysia. Atas jasa baik dan kolaborasi Dr Nurul Huda dan Prof. Dr Yamada Yoshihide, saya ditawarkan utk menyambung pengajian (PhD di Jepun).

“Untuk menyambung pengajian di Nagoya Institute of Technology, saya perlu mempunyai dana kewangan yang cukup, Prof. Kunio Sakakibara telah mencadangan kepada saya untuk memohon Biasiswa Kerajaan Jepun (Japanese Government Scholarship) iaitui Monbukagakusho.

Bagi mendapat biasiswa ini sangat kompetitif, namun Alhamdulillah permohonan saya diluluskan pada bulan Jun 2020 kerana latar akademik saya yang memiliki kekuatan subjek kajian dan penerbitan kertas kajian di peringkat Sarjana,” terang Dr Bazilah lagi.

Beliau mendedikasikan kejayaan itu kepada semua guru-guru di SMK Telok Kumbar (Pulau Pinang), para pensyarah di Malaysia dan Jepun, kedua ibu bapa dan adik beradiknya khususnya Allahyarhamah Badariah (kakak) yang amat menggalakkan beliau menyambung pengajian di peringkat PhD ini.

Oleh kerana bidang kajian saya Kejuruteraan Komunikasi Elektronik – Kejuruteraan Antena, saya mempunyai impian untuk bekerja di bawah NASA atau SpaceX,” jelas Dr Bazilah lagi yang kini telah ditawarkan bekerja dengan sebuah universiti di Arab Saudi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!