Kadar baharu: Pulau Pinang masih tarif air terendah

Kon Yeow (dua dari kiri) dan Zairil (kiri) ketika sidang media mengenai kenaikan tarif air di Komtar, George Town pada Rabu.
Kon Yeow (dua dari kiri) dan Zairil (kiri) ketika sidang media mengenai kenaikan tarif air di Komtar, George Town pada Rabu.
A
A
A

GEORGE TOWN - Pulau Pinang antara negeri yang masih mengekalkan kadar tarif air terendah walaupun Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan akan melaksanakan pelarasan tarif air bermula 1 Februari ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sejak 2019 hingga 2023, tanggungan subsidi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) adalah berjumlah RM503 juta.

Beliau berkata, ia sebagai tampungan kepada kos operasi dan keperluan menaik taraf infrastruktur perlu untuk jaminan pembekalan air kepada 593,255 pengguna air domestik di negeri ini.

"Secara tidak langsung, ini menunjukkan bahawa kadar tarif air di Pulau Pinang adalah lebih rendah daripada kos operasi PBAPP selain pengguna membayar harga yang amat rendah daripada kos sebenar," katanya pada sidang akhbar di Komtar pada Rabu.

Beliau berkata, dengan pelarasan kadar tarif baharu, PBAPP dijangka memperoleh hasil berjumlah RM86 juta setahun.

"Bagaimanapun, PBAPP mash lagi perlu menanggung subsidi yang dianggarkan berjumlah RM78 juta bagi tempoh sama sedangkan wang tersebut boleh digunakan untuk projek-projek infrastruktur perlu, menggantikan yang sedia ada dan telah uzur.

"Ia termasuk pelaksanaan Projek Pelan Kontinjen Air (WCP) 203 dan lain-lain yang berkaitan bernilai keseluruhan RM1.2 bilion demi jaminan pembekalan air berterusan kepada Pulau Pinang," katanya.

Mengulas lanjut katanya, sebelum ini, Pulau Pinang telah beberapa kali menangguhkan pelarasan kadar tarif dan terpaksa menanggung impaknya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, akibat daripada itu, ia menyebabkan penangguhan pelaksanaan projek-projek infrastruktur baharu termasuk kebocoran paip-paip yang telah berusia sebagai jaminan keperluan pembekalan air di negeri ini secara berterusan.

SPAN sebelum ini mengumumkan pelarasan tarif air akan dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi pengguna kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa mulai 1 Februari ini.

Dalam satu kenyataan, SPAN memaklumkan, pelarasan itu melibatkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.

Menurut SPAN lagi, ia juga berdasarkan keperluan dan permintaan kerajaan negeri, namun Persekutuan melalui SPAN akan memantau secara dekat bagi memastikan penambahbaikan perkhidmatan air dilaksanakan selaras dengan kenaikan tarif berkenaan.

Sementara itu, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, pelarasan tarif air baharu itu menyaksikan dua jalur kadar sedia ada telah dihapuskan.

"Di bawah kadar yang diselaraskan, surcaj penjimatan air telah dikeluarkan menjadikan kadar baharu iaitu RM0.55 untuk Jalur 1 (0-20 meter padu), RM1.10 untuk Jalur 2 (20-35 meter padu) dan RM2 untuk Jalur 3 (melebihi 35 meter padu).

“Caj minimum ialah RM5.50 sebulan tetapi termasuk kos ketidakseimbangan kos pas melalui (ICPT) menjadikan jumlah bil ialah RM6.20 sebulan,” kata Zairil.

Dalam pada itu, Zairil berkata, susulan daripada itu, PBAPP telah melaksanakan program rebat bersasar khas kepada golongan tertentu iaitu rebat mesra keluarga dan juga rebat mutiara yang boleh dimohon kepada PBAPP.

"Rebat mesra keluarga yang berjumlah RM10 sebulan khusus untuk golongan B40 dengan pendapatan isi rumah RM2,250 sebulan dan ke bawah serta bilangan isi rumah lapan orang atau lebih.

"Rebat mutiara juga berjumlah RM10 sebulan untuk penerima skim e-Kasih, pendapatan isi rumah RM1,036 sebulan dan ke bawah," katanya.