Penduduk rayu atasi masalah jalan rosak, banjir kilat

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (tiga dari kiri) melihat keadaan jalan yang rosak di Kampung Sungai Rinting B, Pasir Gudang pada Isnin.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (tiga dari kiri) melihat keadaan jalan yang rosak di Kampung Sungai Rinting B, Pasir Gudang pada Isnin.
A
A
A

PASIR GUDANG - Penduduk Kampung Sungai Rinting B di sini merayu masalah jalan rosak, banjir kilat, capaian internet lemah dan ketiadaan pili bomba diselesaikan segera kerana sudah berlarutan sejak sekian lama.

Zulkifli Abd Karim, 39, berkata, jalan utama ke kampung berkenaan sepanjang kira-kira 1.5 kilometer berlubang dan tidak rata amat berbahaya kepada penduduk setempat.

"Apabila hujan keadaan bertambah buruk kerana lubang akan dipenuhi air dan permukaan jalan menjadi licin. Ini membahayakan terutama mereka yang menaiki motosikal. Jalan ini bertambah teruk sejak lebih lima tahun lalu.

Zulkifli
Zulkifli

"Jalan ini digunakan untuk kegunaan harian termasuk menghantar anak-anak ke sekolah. Bayangkan kalau ada kecemasan pada waktu malam seperti hantar orang sakit atau bersalin ke hospital dalam keadaan hujan," katanya.

Bapa kepada empat anak itu berkata demikian ketika ditemui dalam program Turun Padang Mendengar Keluh Resah Penduduk Kampung Rinting B Bersama Ahli Parlimen Pasir Gudang, Wakil Pejabat Daerah, Tok Penghulu, Ketua Kampung, Ahli Majlis dan Bomba pada Isnin.

Seorang lagi penduduk, Kamal Monir, 64, berkata, bukan sahaja keadaan jalan akan bertambah buruk semasa hujan lebat tetapi juga berlaku banjir kilat sehingga enam buah rumah akan dinaiki air pada paras kira-kira setengah meter.

Artikel Berkaitan:


Seorang penduduk menunjukkan tebing belakang sebuah rumah yang terjejas akibat hakisan di Kampung Sungai Rinting B, Pasir Gudang pada Isnin.
Seorang penduduk menunjukkan tebing belakang sebuah rumah yang terjejas akibat hakisan di Kampung Sungai Rinting B, Pasir Gudang pada Isnin.

"Banjir kilat berlaku apabila hujan lebat bertembung dengan air pasang besar. Biasanya pada Disember setiap hujung tahun keadaan akan bertambah buruk," ujarnya.

Bagi Mohd Hazri Yupsan, 31, dia mahu kerja-kerja melebar dan membesarkan parit di kampung berkenaan dilakukan segera untuk mengatasi masalah dasar yang cetek dan tebing runtuh untuk mengelakkan banjir kilat.


Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (kanan) berdialog dalam program Turun Padang Mendengar Keluh Resah Penduduk Kampung Sungai Rinting B pada Isnin.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (kanan) berdialog dalam program Turun Padang Mendengar Keluh Resah Penduduk Kampung Sungai Rinting B pada Isnin.

"Runtuhan tersebut turut menyebabkan tebing di beberapa rumah terhakis. Penduduk mahukan sistem perparitan yang sistematik bermula dari aliran air parit masuk ke Sungai Rinting sebelum masuk ke laut berdekatan," katanya.

Hakila Hussin, 39, pula mahu gangguan capaian internet di kampung berkenaan sejak 2020 diatasi kerana menyukarkan khususnya pelajar sekolah setiap kali mahu mengulang kaji pelajaran.

Hakila
Hakila

"Saya mempunyai empat anak bersekolah rendah dan menengah. Apabila mahu menggunakan internet untuk kegunaan pelajaran, anak-anak terpaksa guna perkhidmatan wifi percuma di McDonald yang terletak kira-kira lima minit dari rumah.

"Ini kerana capaian internet di rumah sangat teruk. Walaupun sudah beberapa kali tukar syarikat telekomunikasi tetapi hasilnya tetap sama. Anak-anak terpaksa duduk dua hingga tiga jam di McDonald semata-mata mahu menyiapkan kerja sekolah," ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Ismail, 64, berharap pihak berkenaan dapat memasang pili bomba di kampung tradisi itu yang sudah berusia 54 tahun kerana tidak mahu apabila berlaku kebakaran akan mengalami masalah.

"Terdapat 30 rumah dengan kira-kira 150 penduduk di sini. Beberapa tahun lalu sebuah rumah di kampung ini terbakar dan tidak dapat diselamatkan kerana tiada pili bomba," dakwa bapa kepada enam anak itu yang merupakan penduduk asal kampung berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!