Anak Tun Hanif nafi lokasi pengebumian diubah atas permintaan keluarga

Abdul Rahmat ditemui selepas solat jenazah Allahyarham di Masjid Negara pada Sabtu.
Abdul Rahmat ditemui selepas solat jenazah Allahyarham di Masjid Negara pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Anak bekas Ketua Polis Negara (KPN), Kapten Abdul Rahmat Omar Mohamed Haniff menafikan dakwaan bahawa lokasi pengebumian ayahnya, Allahyarham Tun Mohammed Hanif Omar diubah ke Bukit Kiara atas permintaan ahli keluarga.

Abdul Rahmat menjelaskan bahawa pertukaran lokasi tersebut bukan dibuat atas permintaan mereka sekeluarga, sebaliknya memberitahu ia diumumkan oleh Imam Masjid Negara.

Bagi memahami situasi sebenar, Abdul Rahmat melalui satu kenyataan turut memberitahu kronologi pada hari kejadian bermula pada jam 3.16 pagi apabila beliau mengeluarkan kenyataan pertama memaklumkan pemergian Allahyarham.

"Kemudian jam 6.22 pagi saya memaklumkan bahawa jenazah akan berada di rumah sehingga jam 10 pagi untuk membenarkan sanak-saudara dan rakan-taulan menziarah.

"Jenazah akan dibawa ke Masjid Al-Ikhlas, Seksyen 13, Shah Alam untuk urusan pemandian, pengkafanan dan sembahyang jenazah.

"Tiada maklumat pengebumian dapat diputuskan sehingga mendapat maklum balas Sekretariat dan Bahagian Kebajikan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, media tempatan melaporkan jenazah Allahyarham Tun Hanif telah diubah ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara atas permintaan keluarga.

Mengulas lanjut Abdul Rahmat berkata, beliau mengeluarkan maklumat terakhir iaitu pada jam 8.40 pagi setelah jenazah disembahyangkan di Masjid Al-Ikhlas dan akan dibawa ke Masjid PDRM Bukit Aman untuk penghormatan terakhir serta disembahyangkan sekali lagi sebelum dibawa ke Bukit Kiara.

Artikel Berkaitan:

"Lebih kurang jam 9.45 pagi, saya dimaklumkan oleh PDRM supaya mempertimbangkan untuk jenazah dibawa terus ke Masjid Negara untuk semua urusan sehingga pengebumian di Makam Pahlawan.

"Setelah berbincang dengan ibu saya, kami bersetuju.

"Ini merupakan maklumat dan komunikasi terakhir mengenai pengurusan pengebumian jenazah Allahyarham sehinggalah pengumuman dibuat oleh Imam Masjid Negara memaklumkan bahawa jenazah akan dikebumikan di Bukit Kiara," jelasnya.

Menurut beliau, tiada sebarang perbincangan dilakukan oleh pihak protokol dengan keluarga, lebih-lebih lagi dengan beliau sebagai waris dan wakil keluarga.

"Kenyataan ini dibuat kerana terdapat khabar bahawa kami sekeluarga yang membuat permohonan pertukaran dan juga terdapat pihak-pihak yang sudah mula membuat andaian berbaur politik yang tidak sihat," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28