Tun Hanif utamakan kerjasama polis, rakyat cegah jenayah - Lam Thye

Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kecil: Lam Thye
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kecil: Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye menyifatkan Allahyarham Tun Mohammed Hanif Omar yang dikenalinya sejak 40 tahun lalu seorang yang amat berjasa sepanjang memimpin Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Malah beliau berkata, idea menubuhkan MCPF pada 1993 juga dimulakan oleh bekas Ketua Polis Negara (KPN) itu.

"Yayasan itu merupakan hasrat Allahyarham bagi memupuk kerjasama antara polis dan masyarakat dalam memerangi jenayah,.

"Allahyarham menunjukkan kepimpinan yang baik sepanjang berkhidmat dan meninggalkan kesan mendalam terhadap penguatkuasaan undang-undang.

"Beliau juga seorang yang intelektual dan berdisiplin sepanjang menerajui pasukannya," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sebelum ini media melaporkan, Mohammed Hanif, 85, meninggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor, awal pagi Sabtu dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Beliau merupakan KPN keempat dan menyandang jawatan itu selama 20 tahun bermula 1974 sehingga 16 Januari 1994.

Dalam pada itu Lam Thye berkata, kerjasama dalam MCPF telah memudahkan pelbagai program mendidik masyarakat mengenai pencegahan jenayah, sekali gus mengukuhkan hubungan antara pasukan beruniform dan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Sambil melahirkan penghargaan terhadap sumbangan tidak ternilai Mohammed Hanif, beliau turut berkongsi sikap dedikasi Allahyarham terhadap kepolisan komuniti dan komitmennya mempertingkatkan kesejahteraan masyarakat.

"Pemergian beliau satu kehilangan besar bukan sahaja kepada pasukan polis tetapi untuk negara selain sumbangan tidak ternilai dalam mengekalkan keamanan serta keselamatan negara," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!