[VIDEO] 4 beradik autisme berazam wakili negara dalam kejohanan catur dunia

A
A
A

PONTIAN - Penyertaaan empat beradik yang mengalami masalah austim pada Kejohanan Catur Kebangsaan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim dekat sini, menarik perhatian ramai yang kagum dengan semangat mereka.

Mohd Danish Arif Mohd Afif, 16; Ainul Mardhiah, 14 ; Abdurrahman, 12, dan Aishah, 11, bukan nama asing dalam pertandingan catur kerana masing-masing sudah melakar nama di peringkat kebangsaan dan dunia.

Ahmad ( tengah) menyaksikan pertandingan catur yang disertai Ainul Mardhiah (kanan) ketika Kejohanan Catur Kebangsaan di Dewan Jubli Intan, Sultan Ibrahim Pontian.
Ahmad ( tengah) menyaksikan pertandingan catur yang disertai Ainul Mardhiah (kanan) ketika Kejohanan Catur Kebangsaan di Dewan Jubli Intan, Sultan Ibrahim Pontian.

Bapa mereka, Mohd Afif Md Nasir, 42, berkata penyertaan keempat-empat anaknya pada kejohanan kali ini diharap dapat membuka peluang mereka mewakili negara ke Budapest, Hungary bagi 45th Chess Olympiad.

Dari kanan, Ainul Mardhiah, Aishah, Abdurrahman dan Mohd Danish Arif menyertai Kejohanan Catur Kebangsaan di Pontian. Gambar kecil: Mohd Afif
Dari kanan, Ainul Mardhiah, Aishah, Abdurrahman dan Mohd Danish Arif menyertai Kejohanan Catur Kebangsaan di Pontian. Gambar kecil: Mohd Afif

Jelasnya, Ainul Mardhiah kini berhasrat untuk membaiki kedudukan selepas berjaya menduduki tangga ke-24 kejohanan catur dunia di Itali pada September tahun lalu.

"Permainan catur ini diperkenalkan kepada anak-anak sebagai aktiviti masa lapang ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksana akibat pandemik Covid-19.

"Selepas itu, saya dan isteri Nor Idah Wagimin, 42, mengambil keputusan untuk mengupah guru catur dan mendaftarkan anak-anak dalam pertandingan secara dalam talian.

Artikel Berkaitan:

"Tanpa dijangka, anak-anak kami muncul juara di peringkat sekolah, daerah dan negeri selepas itu. Malah kejayaan lebih manis apabila Ainul Mardhiah dapat mewakili negara," katanya ketika ditemui pada Isnin.

Dia yang menetap di Taman Bukit Perdana Batu Pahat mengakui, permainan catur menjadi platform membantu anak-anaknya mengasah bakat dan menyesuaikan diri.

Tambahnya, Mohd Danish dan Ainul Mardhiah bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datin Onn Jaafar di Batu Pahat dengan mengikuti program pendidikan khas di sekolah tersebut manakala dua lagi anaknya bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Temengong Ibrahim, Batu Pahat.

"Setiap hari, anak-anak akan berlatih catur selama tiga jam selepas pulang dari sekolah. Bakat mereka turut dicungkil menerusi kejohanan catur di peringkat Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) dan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

“Bagi kejohanan catur kebangsaan dan antarabangsa pula, terdapat cabaran kerana mereka akan bertemu dengan peserta yang lebih berusia dan berpengalaman. Namun setakat ini, anak-anak berjaya mengekalkan ketenangan dan meraih kedudukan,” ujarnya.

Peserta dari seluruh negara menyertai Kejohanan Catur Kebangsaan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian.
Peserta dari seluruh negara menyertai Kejohanan Catur Kebangsaan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian.

Sementara itu, seramai 164 peserta dari seluruh negara menyertai Kejohanan Catur Antarabangsa di Pontian yang dirasmikan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Sementara itu, Pengerusi Persekutuan Catur Malaysia (MCF), Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi berkata, kejohanan selama lima hari sehingga Khamis itu diadakan bagi mencari wakil negara ke 45th World Chess Olympiad’ di Hungary pada bulan September depan.

"Acara catur yang akan dipertandingkan buat julung kali pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Kuching, Sarawak pada Ogos depan sekali gus akan melahirkan lebih ramai pelapis terutama generasi muda.

"Anggapan yang mengatakan catur untuk golongan elit dan cerdik pandai sahaja salah. Ini kerana semua peringkat usia boleh bermain catur, asalkan mereka ingin berusaha untuk mempelajari teknik permainan catur," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!