Hasrat Sultan Ibrahim perangi rasuah mampu jadi ‘Iltizam Negara'

Kesanggupan Sultan Ibrahim mengambil tanggungjawab besar secara peribadi memerangi rasuah merupakan suatu rahmat buat rakyat.
Kesanggupan Sultan Ibrahim mengambil tanggungjawab besar secara peribadi memerangi rasuah merupakan suatu rahmat buat rakyat.
A
A
A

SHAH ALAM - Hasrat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mahu memberikan tumpuan menghentikan amalan rasuah sebaik sahaja ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-17 mampu menjadikan ia sebagai satu ‘Iltizam Negara'.

Setiausaha Majlis Ekonomi Halal (MEH), Dr Helmi Ibrahim berkata, kesanggupan Sultan Ibrahim mengambil tanggungjawab besar secara peribadi memerangi rasuah merupakan suatu rahmat buat rakyat yang kian berputus asa dan kecewa atas kegagalan sesetengah pihak menangani jenayah tersebut selama ini.

“Ia dilihat luar biasa kerana hasrat Sultan Ibrahim adalah sesuatu perkara luar biasa dan keluar dari konvensyen kebiasaannya, sekali gus menunjukkan bahawa baginda meletakkan iltizam untuk berperanan sebagai Ketua Negara yang bagus.

“Maka niat baginda ini mampu menjadikan perangi rasuah sebagai ‘Iltizam Negara’ iaitu inisiatif Ketua Negara mengembalikan nama baik Malaysia yang sudah lama tercemar,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau mengulas temu bual eksklusif Sultan Ibrahim yang bertitah, kerajaan stabil perlu konsisten dengan dasar mampan untuk memperbaiki ekonomi negara.

Titah baginda menerusi wawancara bersama media luar negara itu, perkara yang ingin difokuskan sebaik sahaja menggalas tugas sebagai YDPA adalah memburu golongan korup.

Tambah Sultan Ibrahim, baginda turut mencadangkan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berada di bawah YDPA, bukannya Parlimen seperti sekarang.

Helmi
Helmi

Artikel Berkaitan:

Helmi yang juga Ahli Majlis Tertinggi #RasuahBusters Selangor memaklumkan, cadangan tersebut merupakan satu idea bernas dan inovatif kerana ia bakal menjadikan SPRM dalam keadaan lebih bertenaga serta berjaga-jaga.

Tambah beliau, pengurusan tertinggi SPRM sudah pasti gusar dengan perkembangan itu kerana berkemungkinan tiada lagi ruang untuk ‘kong kali kong’.

Malah menurutnya lagi, rakyat seakan-akan hilang kepercayaan terhadap SPRM yang kelihatan celaru apabila menangani kes berprofil tinggi dan hanya kelihatan bernafsu apabila mendakwa ‘ikan bilis’ sedangkan ‘buaya tembaga’ terlepas bermaharajalela.

“Justeru, dengan meletakkan SPRM di bawah pengawasan YDPA, maka SPRM akan lebih profesional dalam segala aspek khususnya perhubungan awam.

“Saya berharap YDPA ke-17 akan melakukan rombakan besar-besaran terhadap SPRM dari pengurusan tertinggi hingga bawahan.

“Hanya dengan cara ini, hasrat baginda dan rakyat Malaysia dalam memerangi jenayah rasuah dapat direalisasikan dengan jayanya,” ujarnya.