Tular MB Kelantan dapat kereta rasmi Mercedes Benz

Tular di media sosial gambar kereta Mercedes Benz dikatakan kenderaan rasmi Menteri Besar Kelantan hari ini.
Tular di media sosial gambar kereta Mercedes Benz dikatakan kenderaan rasmi Menteri Besar Kelantan hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Amanah Kelantan meminta Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob segera memberi penjelasan berhubung penularan mengenai pembelian kereta rasmi baru miliknya seperti yang ditularkan di media sosial hari ini.

Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamed berkata, Ahmad perlu tampil memberikan penjelasan sebenar mengenai pembelian kereta tersebut memandangkan ia boleh menimbulkan fitnah.

"Harap Menteri Besar dapat jawab dan jelaskan untuk elak fitnah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Sejak pagi tadi, tular di laman sosial Menteri Besar Kelantan mendapat kenderaan rasmi baru kononnya Mercedes Benz dengan plat pendaftaran DV 1.

Penularan itu disertakan dengan gambar kenderaan yang dimuat naik ke laman sosial.

Sebelum ini, pernah tular di laman sosial bahawa kerajaan negeri membeli sebuah kereta Mercedes jenis S 450 L AMG Line berwarna hitam melibatkan kos RM600,000.

Rata-rata komen netizen di laman sosial masing-masing mempersoalkan 'kehadiran' kenderaan tersebut pada masa rakyat negeri ini berdepan masalah kemiskinan dan sebagainya.

Malah ada di antara netizen yang mempersoalkan serta membuat andaian sendiri bahawa kenderaan tersebut dibeli menggunakan wang 'one-off' berjumlah RM400 juta yang diberikan kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Peruntukan tersebut sebelum ini dikatakan akan digunakan untuk meningkatkan sosio-ekonomi, kesejahteraan rakyat dan mengukuhkan fiskal kewangan negeri.

Bagaimanapun sumber terdekat Sinar Harian memberitahu, kenderaan tersebut dikatakan dibeli sebelum kerajaan negeri menerima duit wang 'one-off' daripada kerajaan Persekutuan.

"Ya, memang kereta baru Menteri Besar. Beli sudah lama, sebelum dapat duit (RM400 juta) dari kerajaan Pusat," katanya ringkas.

Bagaimanapun usaha Sinar Harian untuk mendapatkan pengesahan daripada Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan masih gagal.