X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan Perak henti bincang isu hak milik kekal

Ahmad Faizal ketika sidang media menjelaskan isu pemberian hak milik kekal yang terpaksa ditangguhkan berikutan saman diterima oleh kerajaan negeri hari ini.
A
A

IPOH - Kerajaan Perak tidak akan menyentuh sebarang isu berkaitan pemberian hak milik kekal tanah berikutan tindakan saman yang dibuat oleh seorang individu mengenai isu tersebut.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya akan mendapatkan pandangan daripada Penasihat Undang-Undang Negeri, Azmir Shah Zainal Abidin berhubung tindakan saman tersebut.

Menurutnya, sebarang keputusan mengenai isu hak milik kekal akan ditangguhkan sehingga keputusan mahkamah diperoleh.

"Saya merayu kepada semua pihak untuk tidak berbincang dan berbicara mengenai perkara yang masih belum dapat diputuskan. Saya akan menerima nasihat daripada Penasihat Undang-Undang Negeri dan kami akan ambil tindakan susulan menurut apa yang dinasihatkan.

"Dengan adanya saman pemula ini, maka segala perbincangan tentang perkara itu atau keputusan-keputusan tidak boleh dibuat sehingga ada satu pendirian daripada pihak mahkamah," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu khas di konti Radio Perak FM, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Presiden Majlis Belia Negeri (MBN) Perak, Aswannudin Hariffudin yang bertindak mengemukakan saman pemula terhadap kerajaan Perak untuk tidak membuat sebarang keputusan berkaitan isu hak milik kekal tanah 999 tahun.

Salinan saman pemula tersebut dikemukakan hari ini kepada Pejabat Menteri Besar Perak selepas ia difailkan di Mahkamah Sivil Ipoh semalam melalui peguam, K Jeyaraj.

[Artikel berkaitan: https://www.sinarharian.com.my/article/66019/EDISI/Perak/Kerajaan-Perak-berdepan-saman]

Ahmad Faizal berkata, sebelum ini pihaknya telah membuat ketetapan bahawa sebarang isu berkaitan pemberian hak milik kekal tanah hanya akan dibincangkan di peringkat kepimpinan tertinggi parti dan negara sebelum kerajaan negeri membuat tindakan lanjut.

Sebelum ini, polemik mengenai pemberian hak milik kekal bagi kampung baharu tercetus apabila Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming ketika Konvensyen DAP Perak mendesak Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menunaikan janji pilihanraya untuk melaksanakan pemberian hak milik kekal itu sebelum Tahun Baharu Cina.

[Artikel berkaitan: https://www.sinarharian.com.my/article/58863/EDISI/Perak/DAP-Perak-tuntut-janji-hak-milik-kekal-kampung-baru]

Kemudian, Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad menyifatkan pemberian hak milik kekal tanah itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan melanggar ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-73.

[Artikel berkaitan: https://www.sinarharian.com.my/article/60437/EDISI/Perak/Hak-milik-kekal-tanah-Jangan-cabul-Perlembagaan]

Bagaimanapun DAP Perak menerusi Naib Pengerusinya, Dr Abdul Aziz Bari meminta Saarani mengemukakan bukti terdapat peruntukan undang-undang yang melarang hak milik kekal diberikan kepada rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN:

Hak milik tanah kekal untuk semua kaum


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!