Bincang isu tiket penerbangan mahal di kabinet

Anthony Loke hadir Konvensyen Tahunan DAP Johor di Muar pada Ahad.
Anthony Loke hadir Konvensyen Tahunan DAP Johor di Muar pada Ahad.
A
A
A

MUAR - Kerajaan kini di peringkat perbincangan bagi menyelesaikan isu tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak yang didakwa melonjak melebihi RM1,000.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya masih memperincikan beberapa perkara sebelum di bawa kepada perbincangan dengan Jemaah Menteri.

"Kita akan bawa perkara ini ke dalam kabinet. Perkara itu akan dibincangkan nanti," katanya secara ringkas pada sidang akhbar selepas Konvensyen Tahunan DAP Johor pada Ahad.

Hadir sama, Veteran DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, Timbalan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching dan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali.

Isu harga tiket penerbangan yang melambung menjelang Aidilfitri lalu menjadi bebanan kepada penumpang dari Semenanjung untuk pulang berhari raya ke Sabah atau Sarawak.

Susulan itu, Anthony Loke pada 20 April lalu memaklumkan, kerajaan sedang memperincikan mekanisme terbaik untuk mencari penyelesaian kadar tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak yang harganya melonjak melebihi RM1,000.

Menurutnya, perkara itu ada dibincangkan pada mesyuarat kabinet dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan mandat itu kepadanya untuk menyelesaikannya.

Kerajaan juga mengumumkan tawaran harga tiket penerbangan lebih murah kepada pelajar di institut pengajian tinggi awam membabitkan pelajar IPT dari Semenanjung yang belajar di Sabah dan Sarawak atau pelajar dari dua negeri Borneo itu yang belajar di Semenanjung.