Penjawat awam, pemilik bengkel rugi RM394,000 angkara 'phone scam'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua individu berputih mata apabila kerugian RM394,000 selepas menjadi mangsa penipuan 'phone scam' yang menyamar sebagai kakitangan perkhidmatan penghantar kiriman dan pegawai polis.

Mangsa lelaki pemilik bengkel kimpalan berusia 32 tahun kerugian RM234,000, manakala seorang lagi membabitkan penjawat awam wanita berusia 30 tahun rugi RM160,000.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, laporan polis daripada kedua-dua individu terbabit diterima pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Menurut beliau, kedua-dua mangsa telah dihubungi pegawai perkhidmatan penghantar kiriman yang menyatakan terdapat barang terlarang telah diposkan menggunakan butiran mangsa.

"Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada individu yang mendakwa sebagai pegawai polis dan mangsa diminta membuat pembayaran untuk menyelesaikan kes.

"Bagi kes pemilik bengkel kimpalan, mangsa telah membuat 15 transaksi perbankan dalam talian ke dalam lapan akaun bank berlainan dengan jumlah keseluruhannya sebanyak RM234,000.

"Bagi kes penjawat awam pula, mangsa telah membuat pinjaman bank untuk menyelesaikan kes tersebut dan pengadu telah membuat dua transaksi secara dalam talian berjumlah RM160,000," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Kumar memberitahu, kedua-dua mangsa bertindak membuat bayaran tanpa melakukan semakan atau merujuk pihak berkuasa dan ahli keluarga kerana takut diambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Bermula awal tahun sehingga kini, Kontinjen Johor telah menerima sebanyak 148 laporan penipuan 'phone scam' membabitkan nilai kerugian lebih RM5 juta," ujarnya.

Dalam pada itu, Kumar menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga terutama dalam urusan melibatkan transaksi kewangan selain disarankan mengikuti laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersial seperti Facebook, Instagram dan TikTok bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan modus operandi jenayah komersial.

"Selain itu, orang ramai diseru agar menggunakan perkhidmatan dalam talian 'semak mule' sebelum membuat sebarang pembayaran serta muat turun aplikasi 'whoscall' bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan, sekiranya telah menjadi mangsa penipuan, hubungi National Scam Response Centre (NSRC) melalui talian 997 dengan seberapa segera," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!