Caruman penjawat awam tak kurang 26 peratus gaji asas - Cuepacs

Para penjawat awam melafazkan ikrar sempena Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Sembilan Bersama Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Tahun 2024 hari ini. - Foto: Bernama (Gambar kecil: Adnan)
Para penjawat awam melafazkan ikrar sempena Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Sembilan Bersama Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Tahun 2024 hari ini. - Foto: Bernama (Gambar kecil: Adnan)
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berpendapat skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dicadangkan nanti perlulah bersesuaian dan tidak kurang daripada 26 peratus gaji asas penjawat awam baharu berstatus tetap.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, sehubungan itu tiga agensi utama yang bertanggungjawab menjaga kebajikan pekerja di negara ini iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Pertubuhan Keselamatan dan Sosial (Perkeso) diharap dapat mengemukakan cadangan lebih baik kepada kerajaan berhubung skim tersebut.

"Bahasa mengatakan pencen nak mansuhkan itu bukan penggunaan yang sesuai, sebenarnya ialah nak dibuat penambahbaikan dan sebab itu Cuepacs telah pertahankan satu ayat dipanggil tidak kurang faedahnya.

"Cuepacs yakin cadangan akan datang adalah lebih baik dan sesuai dengan generasi ketika itu. Maka dengan itu cadangan ini perlu kita lihat dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Sembilan Bersama Cuepacs Tahun 2024 di sini pada Khamis.

Hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sehubungan itu, beliau berharap, anggota perkhidmatan awam tidak terpengaruh dengan maklumat tidak tepat berhubung pemansuhan skim pencen seperti mana yang ditularkan.

Ujarnya, apa yang kerajaan lakukan ketika ini adalah untuk menambah baik skim sedia khusus untuk anggota perkhidmatan awam baharu pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu kita setuju tiga agensi ini buat cadangan awal supaya kita boleh berbincang apakah yang lebih baik. Itu asasnya.

"Jadi kaedah perbincangan itu akan dibuat oleh kerajaan dan telah ditetapkan 25 Mac ini supaya semua agensi ini buat cadangan-cadangan untuk dibincangkan dalam siri-siri berikutnya," katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berharap, kerajaan dapat mempertimbangkan untuk memberi bantuan khas kewangan bersempena Aidilfitri kepada semua penjawat awam dan pesara kerajaan.

Ini kerana katanya, ia merupakan tradisi kerajaan setiap tahun dalam membantu meringankan beban penjawat awam membuat persiapan menyambut perayaan.

"Jika kerajaan merasakan ada keperluan untuk sedikit tambahan dalam bentuk bantuan perayaan seperti mana lazimnya kerajaan beri setiap tahun, kita sangat mengalu-alukan.

"Lazimnya kerajaan bagi RM500 dan pesara RM250, masih mengekalkan yang sama pun adalah sesuatu yang baik. Tapi Cuepacs tidaklah mendesak, " katanya

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!