Kajian SSPA ambil kira tempoh waktu kerja penjawat awam wanita - PM

Anwar melawat reruai pameran selepas Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024 di Sunway Pyramid Convention Centre hari ini. - Foto Bernama
Anwar melawat reruai pameran selepas Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024 di Sunway Pyramid Convention Centre hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang dirangka akan turut mengambil kira untuk memberi kelonggaran kepada penjawat awam wanita untuk bekerja dalam tempoh lebih pendek supaya dapat memberi perhatian lebih kepada keluarga.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelonggaran itu, mungkin akan melibatkan kadar upah yang berbeza.

"Saya akan bincang dengan Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam supaya diberi kelonggaran, walaupun dengan sedikit gaji yang kurang.

"Umpamanya biasanya kerja dari jam 8 pagi sehingga 5 petang, tetapi kalau bekerja mungkin selama empat jam, mengikut kadar upah mungkin kurang, tetapi kita boleh manfaatkan wanita yang merasa terdesak untuk jaga kepentingan anak-anak di rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024, di sini malam ini.

Turut hadir pada majlis sambutan itu isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dan timbalannya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta jemaah menteri.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia akan menjadi negara pertama di dunia yang memberi kelonggaran seumpama itu kepada penjawat awam wanita, jika ia dapat direalisasikan.

Beliau berkata, perkara itu menuntut perubahan daripada pemikiran konvensional, memandangkan terdapat wanita yang terpaksa meninggalkan kerjaya mereka bagi memberi perhatian kepada keluarga.

Artikel Berkaitan:

"Kita yang membuat peraturan dan SOP (prosedur operasi standard) dan kalau kita rasa perlu untuk meningkatkan sumbangan wanita, kita boleh sesuaikan sedikit peraturan dan SOP itu," kata beliau.

Bagi mengiktiraf peranan wanita, Anwar turut mengarahkan Nancy supaya memilih 100 tokoh wanita dalam pelbagai bidang untuk menerima dana khas sebanyak RM50,000, bagi menjalankan program berkaitan golongan itu.

"Dengan dana khas ini, mereka boleh manfaatkan sama ada mengadakan kegiatan atau kumpulan yang tidak semestinya terikat kepada parti atau persatuan, menggunakan dana ini untuk mencari jalan atau wahana meningkatkan kegiatan wanita," kata beliau.

Perdana Menteri berkata, beliau akan menimbangkan untuk meningkatkan jumlah penyertaan dan dana, jika program yang dijalankan terbukti berjaya mengangkat peranan wanita dalam masyarakat.

Sementara itu, beliau berkata, SSPA yang bertujuan meningkatkan kadar upah penjawat awam sedang dalam peringkat akhir dan hasil kajian itu akan diumumkan menjelang akhir tahun ini selepas 10 tahun kadar upah penjawat awam tidak dikaji. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28