Serangan balas Israel hanya propaganda Barat

Sistem pertahanan udara Iran menembak jatuh beberapa objek mencurigakan di Isfahan dan Tabriz pada awal pagi Jumaat. - Foto: Agensi
Sistem pertahanan udara Iran menembak jatuh beberapa objek mencurigakan di Isfahan dan Tabriz pada awal pagi Jumaat. - Foto: Agensi
A
A
A

TEHERAN - Komuniti antarabangsa kecoh gara-gara propaganda beberapa media Barat tentang serangan ke Iran yang kononnya dilancarkan Israel pada awal pagi Jumaat.

Ia pertama kali dilaporkan stesen penyiar Amerika Syarikat (AS), ABC News memetik kenyataan pegawai kanan Washington yang mendakwa rejim Zionis melancarkan serangan misil ke atas kemudahan di Teheran.

Berita itu terus tersebar ke beberapa media Barat lain, namun tiada sebarang pengesahan dibuat dari Israel mahupun Iran tentang kejadian tersebut ketika ia mula heboh diperkatakan banyak pihak.

Laporan itu juga menyebut tentang jadual penerbangan di beberapa bandar Teheran terpaksa ditangguhkan selain dakwaan berlaku insiden letupan di Syria dan Iraq hingga mencetuskan kebimbangan rantau Asia Barat kini berada di ambang peperangan lebih meluas.

Beberapa jam selepas itu, media Iran akhirnya mengesahkan tentang kejadian letupan di wilayah Isfahan.

“Sistem pertahanan udara di beberapa bandar telah diaktifkan,” jelasnya ketika memberikan penjelasan tentang insiden yang pada mulanya dianggap sebagai serangan balas rejim Zionis ke atas Teheran.

Agensi berita Tasnim memetik sumber boleh dipercayai menafikan Iran telah diserang dari luar negara.

“Maklumat yang kami peroleh bertentangan dengan khabar angin dan dakwaan palsu dibuat media asing. Tiada laporan tentang serangan ke atas Isfahan atau bahagian lain di Teheran," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, tiga pegawai Iran memberitahu New York Times (NYT), dron kecil yang menjadi punca penyebaran khabar angin itu berkemungkinan dilancarkan dari dalam negara.

“Sistem radar kami tidak mengenal pasti sebarang objek terbang tidak dikenali menceroboh masuk ke ruang udara Teheran,” menurutnya.

Kejadian itu juga disahkan agensi berita Fars yang melaporkan tiga letupan didengari berhampiran Qahjavarestan dekat lapangan terbang Isfahan dan pangkalan tentera udara kelapan Shekari.

Sementara itu, jurucakap agensi angkasa tempatan, Hossein Dalirian memaklumkan beberapa dron berjaya ditembak jatuh.

“Tiada laporan tentang serangan misil,” jelasnya menerusi platform X.

Agensi berita IRNA menerusi laporan mereka turut mengesahkan tiada kemusnahan atau letupan besar disebabkan oleh ancaman udara seperti dihebohkan media Barat. - AFP

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!