Serangan Iran-Israel dibenarkan di bawah undang-undang antarabangsa - Pakar

Iran melancarkan berpuluh-puluh serangan dron terhadap Israel pada Sabtu. Foto AFP
Iran melancarkan berpuluh-puluh serangan dron terhadap Israel pada Sabtu. Foto AFP
A
A
A

SHAH ALAM - Serangan Iran terhadap Israel adalah suatu perkara yang dibenarkan di bawah undang-undang antarabangsa.

Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Salawati Mat Basir berkata, ia dijelaskan dalam Artikel 51 Piagam Penubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu mempertahankan diri susulan serangan Israel ke atas bangunan konsulatnya di Damsyik, Syria pada 1 April lalu.

Salawati
Salawati

“Selepas beberapa kali kejadian yang menyebabkan mereka diserang tanpa sebab, akan lebih marah lagi kerana Iran menyokong Houthi yang menyerang kapal-kapal Israel dan juga sekutunya di Laut Merah.

“Jadi, Iran merasakan sudah sampai masanya mereka melakukan sesuatu dan mereka telah pun memberi amaran kepada Israel untuk menghentikan keganasan di Gaza.

“Namun, Israel masih meneruskannya. Itu yang mereka lihat di dalam undang-undang antarabangsa dibenarkan kerana Israel mengancam kedudukan Iran sebagai sebuah negara di bawah keanggotaan PBB,” katanya dalam sesi Interviu yang bertajuk Serangan Iran-Israel: Jendela Perang Dunia Ketiga? pada Ahad.

Program yang dihoskan oleh Haizir Othman bersiaran secara langsung di semua platform Sinar Harian.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan, Iran melancarkan berpuluh-puluh serangan dron terhadap Israel pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun serangan dron itu mungkin mengambil masa beberapa jam sebelum mencapai sasarannya.

Dua sumber keselamatan di Iraq berkata, berpuluh-puluh dron telah dikesan terbang dari Iran ke arah Israel di atas ruang udara Iraq.

Mengulas mengenai peperangan itu, Salawati menjelaskan bahawa Iran tidak akan menghentikan peperangan walaupun Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengarahkannya untuk berbuat demikian.

Menurutnya, ia disebabkan oleh keingkaran Israel yang melanggar arahan UNSC untuk menghentikan serangan ke atas Palestin yang telah berlanjutan selama enam bulan.

“Sekiranya UNSC mengarahkan Iran untuk menghentikan perang, saya yakin negara berkenaan sama sekali tidak akan berhenti. Sudah berapa lama UNSC meminta Israel menghentikan serangan (ke atas Gaza), kenapa pula Iran nak berhenti?

“Dalam hal ini saya mengaku Iran mempunyai hak kerana mereka diserang bertubi-tubi. Kalau Malaysia diserang di konsulat, kita juga ada hak untuk menyerang semula. Itu dibenarkan dalam Artikel 51,” ujarnya.

Susulan peperangan berkenaan, Salawati menggesa agar kerajaan Malaysia untuk melihat kerelevanan, pertahan dan polisi luar mengenai hubungan antarabangsa.

Katanya, isu berkenaan akan memberi impak kepada perdagangan, mata wang dan ekonomi negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!