Palestin kecam AS guna kuasa veto halang keanggotaan penuh dalam PBB

Timbalan Wakil Tetap A.S. ke PBB Robert Wood (kiri, depan) mengundi menentang draf resolusi yang mengesyorkan supaya "Palestin diterima menjadi ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu", di ibu pejabat PBB di New York. Foto Xinhua
Timbalan Wakil Tetap A.S. ke PBB Robert Wood (kiri, depan) mengundi menentang draf resolusi yang mengesyorkan supaya "Palestin diterima menjadi ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu", di ibu pejabat PBB di New York. Foto Xinhua
A
A
A

ISTANBUL - Palestin mengecam sekeras-kerasnya keputusan Amerika Syarikat (AS) yang menggunakan kuasa veto bagi menolak usul Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada Khamis yang menuntut keanggotaan penuh Palestin dalam PBB.

Dalam kenyataan, Presiden Palestin menyifatkan langkah itu sebagai "tidak adil, tidak beretika dan tidak wajar, mencabar kehendak masyarakat antarabangsa”, lapor Agensi Anadolu.

Beliau menekankan bahawa dasar AS yang agresif terhadap Palestin, rakyatnya dan hak sah mereka merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan.

Presiden juga menyatakan bahawa veto AS menggalakkan kesinambungan perang genosid Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis yang diduduki.

Beliau juga menekankan bahawa veto mendedahkan percanggahan dalam dasar AS, yang mendakwa menyokong penyelesaian dua negara terhadap konflik Palestin-Israel sambil menghalang masyarakat antarabangsa daripada melaksanakan penyelesaian ini melalui penggunaan veto berulang kali.

Lima belas ahli majlis berkumpul di New York bagi mengundi draf resolusi yang dikemukakan oleh Algeria yang mengesyorkan kemasukan Negara Palestin untuk menjadi ahli PBB.

Keahlian itu disekat selepas 12 menyokong manakala dua berkecuali, termasuk United Kingdom (UK) dan Switzerland.

Palestin telah diterima sebagai negara pemerhati Perhimpunan Agung PBB pada 2012, yang membolehkan utusannya mengambil bahagian dalam perbahasan dan organisasi PBB tetapi tanpa undian.

Artikel Berkaitan:

Negara-negara diterima ke dalam keanggotaan PBB melalui keputusan Perhimpunan Agung atas cadangan Majlis Keselamatan, menurut Piagam PBB.

Resolusi majlis memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undi memihak dan tiada kuasa veto oleh anggota tetap - AS, Britain, Perancis, Rusia atau China - untuk diluluskan.

Permohonan Palestin untuk menjadi ahli penuh PBB dibuat susulan serangan maut Israel di Semenanjung Gaza sejak serangan rentas sempadan 7 Oktober lepas, yang telah membunuh hampir 34,000 rakyat Palestin. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28