Majlis Keselamatan PBB lulus resolusi gencatan senjata di Gaza

Duta AS, Linda Thomas-Greenfield (dua dari kiri) mengambil keputusan berkecuali ketika proses undian resolusi gencatan senjata segera di ibu pejabat PBB di New York pada Isnin. Foto AFP
Duta AS, Linda Thomas-Greenfield (dua dari kiri) mengambil keputusan berkecuali ketika proses undian resolusi gencatan senjata segera di ibu pejabat PBB di New York pada Isnin. Foto AFP
A
A
A

NEW YORK - [DIKEMAS KINI] Buat pertama kali sejak Perang Gaza tercetus lebih lima bulan lalu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada Isnin akhirnya sebulat suara mengundi untuk melaksanakan gencatan senjata di wilayah terkepung itu.

Amerika Syarikat (AS) yang sebelum ini berulang kali menggunakan kuasa veto untuk menolak resolusi yang bertujuan memberi tekanan kepada sekutu kuatnya, Israel akhirnya mengambil pendirian berkecuali manakala 14 negara anggota tetap UNSC sepakat menyokong draf tersebut.

Washington memberitahu pendirian pada kali ini kononnya tidak menandakan perubahan dalam dasar negara berkenaan meskipun keputusan tersebut telah mengundang kemarahan rejim Tel Aviv yang bertindak membatalkan kunjungan ke AS sebagai tanda protes.

"Kami hanya menyokong gencatan senjata, namun mengambil sikap berkecuali kerana kandungan resolusi itu tidak mengutuk pejuang Hamas," jelas jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, John Kirby.

Kandungan resolusi itu menggesa pelaksanaan gencatan senjata segera dan secara kekal selain menuntut pejuang Hamas membebaskan baki tawanan di Genting Gaza.

Sejurus keputusan undi itu diumumkan, seluruh dewan turut bergema dengan tepukan.

Pemerhati Tetap Palestin ke PBB, Riyad Mansour berkata, kelulusan resolusi gencatan senjata itu diharap dapat menjadi 'titik tolak' untuk menamatkan Perang Gaza yang telah meragut lebih 32,300 nyawa.

"Ia bakal membuka jalan untuk menghentikan kekejaman ke atas penduduk Palestin," ujarnya dalam nada sebak.

Artikel Berkaitan:

Hamas dalam satu kenyataan juga menyambut baik keputusan tersebut dan memaklumkan ia sedia untuk berunding tentang perjanjian pertukaran tahanan bersama Israel.

"Pertumpahan darah di Gaza sudah berlarutan untuk tempoh yang terlalu lama. Akhirnya, UNSC memainkan peranan dan sedia menggalas tanggungjawab sepatutnya," kata Duta Algeria, Amar Bendjama.

Paris pula berpendapat komuniti antarabangsa tidak lagi akan mengecam UNSC yang sebelum ini dikritik banyak pihak kerana terlalu mengikut telunjuk AS.

"Kami tetap berharap tempoh bertenang secara kekal dapat dikuatkuasakan sejurus Ramadan berakhir dalam tempoh dua minggu lagi. Krisis itu belum berakhir," kata Duta Perancis, Nicolas de Riviere.

Sementara itu, Slovenia bersama Switzerland yang memainkan peranan utama untuk memastikan resolusi itu mendapat lampu hijau menyifatkan ia sebagai 'detik penting' buat penduduk di Asia Barat. - AFP

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28