MADA jamin bekalan benih padi cukup

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memberi jaminan bekalan benih sah mencukupi untuk kegunaan pesawah MADA pada musim penanaman padi akan datang.

Pengerusinya, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, sebanyak 1.5 juta beg benih padi sah disediakan untuk pesawah MADA.

Beliau berkata, bekalan itu melebihi keperluan penggunaan untuk penanaman padi di kawasan MADA yang memerlukan 771,000 beg sahaja.

"Di Kedah, ada empat kilang termasuklah Mada Corp Miller, OBL Maju Miller,Pertama Padi Miller.

"Empat kilang ini kita ada 1.5 juta beg.Di MADA kita memerlukan 771,000 beg (sahaja) dan kita ada bekalan berganda," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka MADA, Ampang Jajar, di sini, pada Khamis.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya yakin masalah kekurangan benih tidak akan berlaku pada musim ini memandangkan terdapat lebihan kira-kira 600,000 beg lagi.

"Insya-ALLAH, kita tidak akan berhadapan dengan isu ketidakcukupan benih sebagaimana tahun lepas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Ismail menambah, beliau ada melawat kilang pembekal pada Rabu dan mendapati penghantaran benih padi ke Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang membuat tempahan.

Selain itu, beliau memberitahu, harga benih padi kini turut diselaraskan antara RM54 hingga RM58 untuk setiap paket 20 kilogram (kg) bagi mengelak gangguan bekalan kawasan terlibat.

"Musim lepas, isu kita bukanlah isu tiada benih sebaliknya isu harga," katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, kenaikan harga itu tidak dapat dielakkan kerana mengikut harga belian semasa padi iaitu RM1,850 per metrik tan.

Dalam perkembangan lain, Dr Ismail memaklumkan, pesawah di kawasan MADA menjadikan tiga varieti padi iaitu MR297,MR315 dan CL sebagai pilihan untuk tanaman padi mereka.

Bagaimanapun, beliau berkata, pesawah paling cenderung memilih varieti MR297 berikutan prestasi cemerlang pada musim lalu.

Tambah Dr Ismail, varieti MR297 juga paling popular, banyak bekalan dan memberi hasil yang luar biasa berbanding yang lain, sekaligus kekal sebagai pilihan utama petani.

Beliau turut menambah, pesawah di Kedah pernah mencuba varieti padi NMR152 ataupun lebih dikenali sebagai IS21 untuk tanaman mereka.

Bagaimanapun, katanya, hasil tanaman padi yang diperolehi menggunakan varieti NMR152 ini didapati rendah disebabkan serangan penyakit.

Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya bersedia mempertimbangkan penggunaan pelbagai varieti padi lain untuk meningkatkan hasil tanaman padi.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan pesawah di negeri ini lebih cenderung untuk menggunakan benih padi MR297 berikutan ia didakwa lebih tahan lasak dan kurang risiko tumbang.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28