Saman LFL: Kerajaan, AGC dapat kebenaran merayu di mahkamah

Kerajaan Malaysia dan AGC mendapat kebenaran untuk meneruskan rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan dua saman yang dikemukakan oleh LFL terhadap kerajaan Malaysia dan Singapura.
Kerajaan Malaysia dan AGC mendapat kebenaran untuk meneruskan rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan dua saman yang dikemukakan oleh LFL terhadap kerajaan Malaysia dan Singapura.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan Malaysia dan Jabatan Peguam Negara (AGC) mendapat kebenaran untuk meneruskan rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan dua saman yang dikemukakan oleh Lawyers for Liberty (LFL) terhadap kerajaan Malaysia dan Singapura.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli memutuskan kerajaan Malaysia dan AGC telah memenuhi keperluan Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk kebenaran diberikan kepada mereka meneruskan rayuan.

Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim.

Peguam Kanan Persekutuan, Liew Horng Bin mewakili kerajaan Malaysia dan AGC, mahu Mahkamah Persekutuan mempertimbangkan dan memutuskan tujuh persoalan undang-undang.

Antara persoalannya sama ada mahkamah di Malaysia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar isu kedaultan negara asing berdasarkan perakuan yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong mengiktiraf sesebuah negara asing sebagai negara yang berdaulat.

Soalan lain ialah sama ada mahkamah Malaysia boleh melaksanakan bidang kuasa apabila isu kekebalan kedaulatan ke atas sesuatu akta kerajaan asing dibangkitkan dan persoalan ketiga sama ada mahkamah Malaysia mempunyai bidang kuasa untuk mengadili ke atas kelakuan negara asing bagi tindakan jure imperri (hak kedaulatan).

Berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran kepada kerajaan dan AGC, Mahkamah Persekutuan akan mendengar merit rayuan pada tarikh lain yang akan ditetapkan kemudian.

Kedua-dua saman itu difailkan oleh LFL pada 2020 selepas Singapura, di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma), mengarahkan kumpulan hak asasi itu memasukkan notis pembetulan berkaitan kenyataan medianya yang disiarkan di laman webnya yang mendakwa kaedah kejam dan menyalahi undang-undang digunakan untuk menghukum mati banduan di penjara Changi, Singapura.

LFL memfailkan saman pertama terhadap kerajaan Malaysia, memohon deklarasi antara lain LFL tidak boleh tertakluk kepada sebarang proses di Malaysia lanjutan daripada undang-undang Singapura.

Saman kedua yang difailkan LFL adalah terhadap Menteri Dalam Negeri Singapura, memohon perisytiharan bahawa arahan pembetulan tidak boleh dikuatkuasakan terhadap kumpulan hak asasi itu di Singapura.

Pada 23 Disember 2020, Mahkamah Tinggi memberikan kebenaran kepada AGC untuk campur tangan dalam saman kedua.

Kedua-dua kerajaan Malaysia dan AGC kemudian memohon untuk membatalkan kedua-dua saman itu atas alasan bahawa melalui perakuan yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong bertarikh 16 April 2020, Malaysia mengiktiraf Singapura sebagai negara berdaulat dan oleh itu Singapura menikmati imuniti berhubung arahan pembetulan dan keputusan menteri Singapura itu.

Mahkamah Tinggi pada 10 Jun 2021 membenarkan permohonan kerajaan Malaysia dan AGC untuk membatalkan saman itu.

Bagaimanapun, pada 20 Julai 2022, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi selepas membenarkan rayuan LFL. Ia memerintahkan saman itu dipindahkan semula ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh di hadapan hakim Mahkamah Tinggi lain, menyebabkan kerajaan Malaysia dan AGC memfailkan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian hari ini, peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar berhujah bahawa Mahkamah Rayuan adalah betul untuk memerintahkan saman itu dijalankan perbicaraan penuh. - Bernama