Penjual tisu, tiga rakan ditahan samun pemandu teksi

Empat individu direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes samun pemandu teksi warga emas.
Empat individu direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes samun pemandu teksi warga emas.
A
A
A

MELAKA - Seorang penjual tisu bersama tiga rakannya ditahan di sebuah hotel di Bukit Baru di sini pada Rabu selepas disyaki menyamun seorang pemandu teksi.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, kesemua suspek berusia antara 26 hingga 39 tahun termasuk seorang wanita ditahan pada hari sama selepas mangsa berusia 72 tahun disamun dan ditinggalkan di Jalan Parit Keliling menghala ke Rim Jasin lebih kurang jam 2 petang pada Rabu.

Menurutnya, mangsa memaklumkan dihampiri empat individu terbabit yang mengatakan mahu menyewa teksinya untuk ke Jasin ketika berada di stesyen bas Tampin.

Katanya, sebaik tiba di lokasi tersebut, salah seorang lelaki yang tidak dikenali menyuruh mangsa menghentikan kenderaannya dalam kebun kelapa sawit sebelum mencekik leher serta memukulnya hingga tidak sedarkan diri.

"Selepas kejadian mangsa kemudian sedar dia berada di kawasan semak kebun kelapa sawit dalam keadaan berdarah.

"Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka, lebam mata sebelah kiri, bibir bengkak dan kaki sebelah kiri bahagian paha turut bengkak akibat dipukul," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Ujar beliau, mangsa turut mengalami kerugian apabila dompetnya yang berisi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, wang tunai sebanyak RM300, telefon bimbit, kunci rumah dan sebuah teksi jenis Proton Iswara dilarikan kumpulan penyamun terbabit.

Kereta mangsa yang ditinggalkan tidak jauh dari hotel tersebut berjaya ditemui oleh pihak polis.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Jamil berkata, semakan lanjut mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik.

"Reman ke atas keempat-empat suspek ini dibenarkan selama tujuh hari bermula Khamis hingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!