Tiga lelaki ditahan kes larikan pekerja perunding hutang

Tiga lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pemerasan dan melarikan seorang pekerja perunding hutang di sini, pada Selasa.
Tiga lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pemerasan dan melarikan seorang pekerja perunding hutang di sini, pada Selasa.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Tiga lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pemerasan dan melarikan seorang pekerja perunding hutang di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang lelaki pada jam 10.46 malam, Selasa.

"Lelaki itu menyatakan bahawa pekerjanya berusia lingkungan 20-an telah berjumpa dengan seorang wanita berkaitan dengan pembayaran hutang milik syarikat pengadu.

"Pekerjanya kemudian menghubungi pengadu menyatakan bahawa dia ditahan, dipukul, diikat dan dilarikan oleh beberapa individu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Hafiz berkata, suspek juga telah mengambil wang tunai milik pekerja itu sebanyak RM2,000 dan telah menghubungi pengadu untuk meminta wang sebanyak RM7,000 bagi tujuan melepaskan mangsa.

"Bertindak di atas maklumat, kita telah menyerbu sebuah premis di Puncak Alam pada jam 1.20 pagi, Rabu.

"Dalam serbuan tersebut, kita menemui mangsa yang juga seorang lelaki berada dalam tahanan suspek, pihak polis berjaya memberkas tiga lelaki berusia 30-an hingga 40-an," katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas sebuah kereta jenis Honda, dua telefon bimbit milik mangsa serta suspek dan sekeping kad bank.

Artikel Berkaitan:

"Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah dan satu rekod narkotik," katanya.

Mohd Hafiz berkata, pihaknya membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi pengawai penyiasat kes, Inspektor Mohamad Amirul Amin Shukor di talian 013-699 5290," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!