Tiga PPS ditutup, kesemua mangsa banjir dibenarkan pulang

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini ditutup secara berperingkat pada Isnin selepas kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, PPS di daerah Alor Gajah di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal ditutup jam 1 tengah hari, manakala PPS di Balai Raya Bukit Balai ditutup pada jam 3 petang tadi.

"PPS di daerah Melaka Tengah di Japerun Ayer Keroh telah ditutup lebih awal iaitu jam 10 pagi," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Terdahulu, tiga PPS itu dibuka sejak malam tadi susulan beberapa kawasan dinaiki air akibat hujan lebat pada jam 4 petang semalam menyebabkan air sungai melimpah.

Antara kawasan terjejas di daerah Alor Gajah ialah Kampung Bukit Tambun, Kampung Parit Melana, Kampung Bukit Balai, Taman Murai Jaya, Kampung Padang Keladi, Kampung Belimbing Dalam dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Durian Tunggal.

Sementara itu, di daerah Melaka Tengah, kawasan terjejas ialah Kampung Sungai Putat, Taman Melawis Bukit Beruang, Taman Ayer Keroh Heights dan Kampung Enam. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: