122 mangsa banjir dipindahkan ke tiga PPS

Antara mangsa banjir yang ditempatkan di salah sebuah PPS di Durian Tunggal pada Isnin.
Antara mangsa banjir yang ditempatkan di salah sebuah PPS di Durian Tunggal pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Melaka mengaktifkan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan 122 mangsa banjir susulan hujan lebat sejak petang Ahad.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, setakat jam 8 pagi daerah Alor Gajah merekodkan pemindahan mangsa yang tertinggi ke PPS dengan 110 mangsa.

Menurutnya, ini termasuk 72 mangsa dari 25 keluarga dipindahkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal manakala 38 mangsa dari tujuh keluarga ditempatkan di Balai Raya Bukit Balai.

"Antara kawasan terjejas di daerah itu termasuk Kampung Bukit Tambun, Kampung Parit Melana dan Bukit Balai.

"Selain itu Taman Murai Jaya, Kampung Padang Keladi, Kampung Belimbing Dalam dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Durian Tunggal turut terjejas," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Tambahnya, di daerah Melaka Tengah PPS di Japerun Ayer Keroh telah diaktifkan sejak jam 11 malam Ahad bagi menempatkan 12 mangsa dari dua keluarga.

Ujarnya, terdapat juga beberapa kawasan lain yang turut terjejas seperti Kampung Sungai Putat, Taman Melawis Bukit Beruang, Taman Ayer Keroh Heights dan Kampung Enam.

"Kawasan ini telah dinaiki air disebabkan air sungai melimpah di kawasan perumahan dan jalan raya setelah hujan lebat bermula jam 4 petang semalam," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!