Memaknakan syukur dalam diri

Penuhi rukun syukur, dijanjikan ALLAH SWT kenikmatan berganda

BERUSAHA untuk memaknakan syukur dalam diri kita kerana mereka yang sentiasa bersyukur dijanjikan oleh ALLAH kenikmatan yang berganda. Foto Pexels/Gambar kecil: USTAZ MOHAMMAD BAIHAQI
BERUSAHA untuk memaknakan syukur dalam diri kita kerana mereka yang sentiasa bersyukur dijanjikan oleh ALLAH kenikmatan yang berganda. Foto Pexels/Gambar kecil: USTAZ MOHAMMAD BAIHAQI
A
A
A

SYUKUR merupakan suatu perbuatan yang dilakukan oleh seseorang apabila dia mendapat kebaikan.

Ia boleh berlaku dalam bentuk pujian, menzahirkan perasaan berterima kasih atau melafazkan rasa kesyukuran di atas segala kebaikan yang telah terjadi.

Semestinya sebagai seorang Muslim, rasa syukur kepada ALLAH SWT, Tuhan Yang MAHA PENGASIH lagi MAHA PENYAYANG perlu dipupuk di dalam diri kita sebagai suatu bentuk manifestasi kehambaan kita kepada-NYA di samping menzahirkan diri sebagai seorang hamba yang berterima kasih di atas segala kurniaan-NYA.

Perbuatan ini selari dengan arahan ALLAH SWT yang disebutkan dalam ayat ke-152 Surah al-Baqarah: “Maka ingatlah kamu kepada-KU, nescaya AKU akan ingat kepada kamu, dan bersyukurlah kepada-KU, tetapi janganlah kamu mengingkarinya.”

Syukur sifat nabi-nabi terdahulu

Menzahirkan rasa syukur di atas segala nikmat dan kurniaan ALLAH SWT kepada kita juga merupakan sifat nabi-nabi terdahulu yang disebutkan dalam banyak tempat di dalam al-Quran.

Antaranya dalam ayat ke-120 hingga ke-121 Surah an-Nahl apabila ALLAH mematerikan sifat syukur yang dimiliki oleh ketua segala nabi iaitu Nabi Ibrahim AS dengan firman-NYA:

“Sesungguhnya (Nabi) Ibrahim adalah merupakan "satu umat" (walaupun seorang diri), dia taat bulat-bulat kepada ALLAH, lagi berdiri teguh di atas dasar tauhid, dan dia tidak pernah tergolong daripada orang-orang yang musyrik.

Artikel Berkaitan:

"Dia sentiasa bersyukur akan nikmat-nikmat ALLAH. DIA telah memilihnya (menjadi nabi) dan memberi hidayah petunjuk kepadanya ke jalan yang lurus.”

SENTIASA memanjatkan doa kepada ALLAH SWT memohon bantuan untuk bersyukur. Foto Pexels
SENTIASA memanjatkan doa kepada ALLAH SWT memohon bantuan untuk bersyukur. Foto Pexels

Sifat sentiasa bersyukur juga ada pada Nabi Nuh. Ia disebutkan oleh ALLAH SWT dalam ayat ke-3 Surah al-Israk:

“(Wahai) keturunan orang-orang yang telah Kami bawa bersama-sama dengan Nabi Nuh (di dalam bahtera). Sesungguhnya dia adalah seorang hamba yang bersyukur.”

Cara memaknakan syukur

Persoalannya, bagaimana kita hendak memaknakan perasaan syukur di dalam diri kita? Beberapa petunjuk agama berkenaan hal ini:

1 - Sentiasa memanjatkan doa kepada ALLAH SWT memohon bantuan untuk bersyukur.

Nabi Muhammad SAW telah mewasiatkan sebuah doa yang sangat indah kepada Muaz bin Jabal di dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud dan An-Nasa'i:

“Wahai Muaz, demi ALLAH, aku sangat mencintaimu. Demi ALLAH, aku sangat mencintaimu." Baginda SAW bersabda:

"Aku berpesan kepadamu wahai Muaz, jangan kamu tinggalkan doa ini pada akhir setiap solat (yang kamu lakukan): Ya ALLAH, bantulah aku dalam mengingati-MU, bersyukur kepada-MU, dan beribadah kepada-MU dengan baik."

2 - Memenuhi kesemua rukun syukur yang tiga.

Ibnu Qayyim telah menyebutkan di dalam kitabnya Madarij al-Salikin berkenaan rukun syukur yang tiga dengan menyatakan bahawa syukur itu berlaku dengan tiga perkara iaitu hati, lidah dan anggota badan.

Syukur dengan hati membawa erti hatinya sentiasa tunduk dan patuh kepada ALLAH. Ia berlaku apabila hati merasakan nilai nikmat yang telah ALLAH kurniakan kepada dirinya dan berazam untuk mengakui bahawa yang menganugerahkan nikmat yang besar ini adalah ALLAH semata-mata, dan tiada sekutu bagi-NYA.

Syukur dengan lidah pula membawa makna sentiasa memuji dan mengaku akan segala nikmat yang Allah telah kurniakan dengan lidahnya.

Ia berlaku apabila seseorang, secara lisannya mengakui (setelah menetapkan secara tuntas rasa syukur di dalam hati) bahawa yang menganugerahkan segala nikmat adalah ALLAH Yang MAHA ESA, dan sentiasa menyibukkan lidahnya dengan memuji Tuhan-NYA atas nikmat-nikmat tersebut.

SYUKUR dengan anggota badan, ia bermaksud sentiasa taat dan tunduk kepada segala arahan ALLAH SWT. Foto Pexels
SYUKUR dengan anggota badan, ia bermaksud sentiasa taat dan tunduk kepada segala arahan ALLAH SWT. Foto Pexels

Adapun syukur dengan anggota badan, ia bermaksud sentiasa taat dan tunduk kepada segala arahan ALLAH.

Ia berlaku dengan memanfaatkan anggota badan dalam melakukan ketaatan kepada ALLAH, dan mengelakkan menggunakan anggota badan dalam melakukan apa yang dilarang oleh ALLAH.

3 - Berazam meninggalkan segala dosa dan kemaksiatan.

Antara bentuk kesyukuran yang boleh dilakukan adalah berazam meninggalkan segala dosa dan kemaksiatan.

Para salafussoleh berpesan bahawa syukur antara lain maksudnya meninggalkan dosa.

Bahkan ada di antara mereka yang berkata bahawa manifestasi kesyukuran adalah dengan tidak menggunakan sebarang nikmat yang ALLAH telah berikan kepadanya untuk melakukan kemaksiatan kepada-NYA.

Secara tuntas, memetik kata Abu Hazim Az-Zahid: “Adapun orang yang bersyukur dengan lidahnya dan tidak bersyukur dengan seluruh anggota tubuhnya, dia diumpamakan seperti orang yang mempunyai pakaian, tetapi ia hanya memegangnya dan tidak memakainya, maka pakaiannya itu tidak memberi manfaat kepadanya daripada cuaca yang sejuk, panas, salji dan hujan.”

Berusahalah untuk memaknakan syukur dalam diri kita kerana mereka yang sentiasa bersyukur dijanjikan oleh ALLAH kenikmatan yang berganda, manakala mereka yang gagal bersyukur, maka takutlah akan azab ALLAH yang dasyat.

***MOHAMMAD BAIHAQI MD YUSNAN

Pensyarah Kulliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia