Jaga adab, patuhi syarak ketika ziarah-menziarahi

KENAL PASTI siapa saudara agar dapat mengelakkan bersalaman dengan bukan mahram. Foto 123rf
KENAL PASTI siapa saudara agar dapat mengelakkan bersalaman dengan bukan mahram. Foto 123rf
A
A
A

ANTARA amalan sunnah yang masih kekal diamalkan oleh umat Islam sempena Hari Raya Aidilfitri adalah ziarah-menziarahi.

Bukan sahaja tertumpu kepada sanak saudara dan jiran tetangga yang dekat, malah kaum kerabat dan sahabat handai yang tinggal berjauhan tidak terkecuali terlibat dalam amalan murni ini.

Bersempena Aidilfitri ini, Sinar Islam Plus berpeluang mengemukakan pelbagai soalan kepada Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Melaka, Dr. Khairul Azhar Meerangani terutamanya berkaitan amalan ziarah.

Sebagai pembuka kalam, beliau menjelaskan, Aidilfitri merupakan anugerah khas buat umat Islam selepas berkorban masa, tenaga dan harta dalam melaksanakan pelbagai ibadah pada bulan Ramadan.

“Justeru, perayaan Aidilfitri ini selain mempunyai nilai ibadah, ia turut menjadi manifestasi kegembiraan umat Islam setiap tahun, serta termasuk dalam salah satu syiar agama.

“Antara amalan yang dianjurkan semasa Hari Raya Aidilfitri adalah saling menziarahi dan menyambung ikatan silaturahim,” hurainya.

DR KHAIRUL AZHAR
DR KHAIRUL AZHAR

Artikel Berkaitan:

Ziarah sambung silaturahim, diluaskan rezeki

Bahkan katanya, amalan ziarah ini tidak terhad hanya pada 1 Syawal semata-mata, malah turut berlangsung sehingga sebulan lamanya.

“Budaya ‘Rumah Terbuka’ yang dianjurkan oleh organisasi atau persendirian menjadi antara platform penting dalam merealisasikan amalan ini.

“Terdapat banyak hadis yang menyatakan keutamaan amalan ziarah dan menghubungkan silaturahim ini. Antaranya hadis yang diriwayatkan Imam Al-Bukhari:

“Siapa yang suka untuk diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia menyambung silaturahim,” jelasnya.

Malah hurainya, amalan memuliakan tetamu yang hadir turut dianjurkan Islam.

“Tuan rumah digalakkan untuk memberi layanan yang baik terhadap tetamu, kerana ia mempunyai nilai keberkatannya tersendiri.

“Rasulullah SAW mengingatkan dalam hadis yang diriwayatkan Imam Al-Bukhari: “Siapa yang beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, maka muliakanlah tetamu,” katanya.

Tiada batasan tempoh

Menjawab persoalan apakah dibenarkan untuk kita meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri itu sehingga sebulan, Khairul Azhar mengulas bahawa Islam hanya mensyariatkan sambutan itu pada 1 Syawal sahaja.

“Namun, anjuran untuk melakukan kebaikan menerusi aktiviti ziarah-menziarahi, menghubungkan silaturahim, menyediakan makanan dan bersedekah ‘duit raya’ adalah tidak terhad kepada batasan tempoh tertentu.

“Justeru, adat dan kebiasaan yang baik ini tidak bercanggah dengan prinsip agama dan sebenarnya boleh diteruskan selagi mana mematuhi prinsip-prinsip asas yang digariskan oleh Islam,” katanya.

Meskipun begitu katanya, dalam kemeriahan merayakan Aidilfitri, umat Islam seharusnya tidak melupakan tuntutan ibadah seperti puasa enam, di samping memelihara keutamaan waktu solat itu sendiri semasa berziarah.

AMALAN ziarah-menziarahi amat digalakkan dalam ajaran Islam bagi mengeratkan lagi tali silaturahim sesama Muslim. Foto Pexels
AMALAN ziarah-menziarahi amat digalakkan dalam ajaran Islam bagi mengeratkan lagi tali silaturahim sesama Muslim. Foto Pexels

“Tambahan pula, elakkan pembaziran serta terjebak dengan perkara-perkara yang bercanggah dengan tuntutan syarak,” nasihatnya.

Kenali siapa yang boleh bersalam

Menjawab soalan aktiviti bersalaman, beliau menjelaskan, budaya berkumpul dan bersalaman bersama keluarga serta sanak saudara menjadi detik indah yang mewarnakan sambutan Aidilfitri.

“Sememangnya amalan bersalaman sesama Muslim itu sangat dianjurkan oleh agama berdasarkan sabda Rasulullah: “Tidaklah ada dua orang Muslim itu, apabila bertemu lalu bersalaman, melainkan akan diampunkan dosa kedua-duanya sebelum mereka berpisah.” (Hadis Riwayat Ahmad)

“Meskipun begitu, amalan ini juga terikat dengan panduan syarak yang telah digariskan iaitu tidak bersalaman dengan mereka yang berbeza jantina serta tidak mempunyai ikatan mahram,” katanya.

Hurainya lagi, tidak semua kaum kerabat itu merupakan mahram, meskipun kita sendiri mempunyai hubungan yang mesra bersama mereka.

“Menurut perspektif fiqh, mahram didefinisikan sebagai ‘seseorang yang diharamkan untuk berkahwin dengannya sama ada dengan sebab keturunan, perkahwinan mahupun susuan.

“Justeru, penting buat setiap Muslim untuk mengenali mahramnya terlebih dahulu, sebelum menghulurkan tangan untuk bersalaman, mahupun mendedahkan aurat yang lazim dipamerkan,” jelasnya.

Katanya, antara yang sering terlepas pandang adalah bersalaman dengan sepupu dan ipar-duai berlainan jantina.

JAGALAH adab-adab ketika melakukan aktiviti ziarah sempena hari raya atau rumah terbuka. Foto Pexels
JAGALAH adab-adab ketika melakukan aktiviti ziarah sempena hari raya atau rumah terbuka. Foto Pexels

“Hubungan akrab ini sering disalahfahami sehingga mendorong berlakunya pelanggaran syariat.

“Rasulullah SAW berpesan: “Sekiranya dicucuk pada kepala salah seorang daripada kamu dengan jarum besi, ia adalah lebih baik buatnya berbanding menyentuh seorang perempuan yang tidak halal baginya (bukan mahram).” (Hadis Riwayat At-Tabrani)

“Maka, hal ini perlu diberi perhatian penting supaya ibadah yang dilakukan pada hari raya beroleh keredaan ALLAH SWT,” nasihatnya.