'KLIA dicadang pertingkat aspek keselamatan, kawalan ketat' - Polis

Skuter yang dijangka akan digunakan dalam masa terdekat oleh Polis Selangor bagi melaksanakan rondaan dan kawalan di lapangan terbang. - FOTO: SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
Skuter yang dijangka akan digunakan dalam masa terdekat oleh Polis Selangor bagi melaksanakan rondaan dan kawalan di lapangan terbang. - FOTO: SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SEPANG - Isu keselamatan dan kawalan ketat merupakan aspek dicadangkan kepada pihak Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi pertingkat pemantauan di pintu masuk utama negara itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mengenai mesin imbasan, ia perlu dilaksanakan pihak lapangan terbang.

Menurutnya, pihak polis akan mencadangkan kepada pihak lapangan terbang agar kawalan lebih baik terutama orang awam yang masuk membawa mercun atau senjata api agar dapat dikesan dengan lebih awal.

"Ini satu perkara yang kita hendak lihat ke depan.

"Mengenai tumpuan pihak polis di KLIA dan KLIA2, memang perkara ini selalu dibincang untuk ditingkatkan sama ada anggota polis atau pihak lapangan terbang," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA di sini pada Isnin.

Dalam Majlis Serah Terima Tugas itu, Asisten Komisioner Azman Shari'at dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Klia baharu menggantikan Senior Asisten Komisioner Imran Abd Rahman yang bertukar ke Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman.

Tambah Hussein, selain itu lorong berhampiran pintu juga tidak boleh dibuka kepada orang awam sama ada di ketibaan atau pelepasan kerana lorong paling hampir dengan pintu masuk risikonya adalah tinggi.

"Mana-mana individu boleh parkir berhampiran dan masuk dengan beberapa langkah. Ini cadangan pihak polis atas faktor keselamatan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, Polis Selangor juga akan tambah baik dalam masa terdekat penggunaan 'self control scooter' yang mana telah dirancang untuk dibeli dan digunakan di KLIA di mana kerajaan Selangor telah bersetuju untuk perolehannya.

Hussein berkata, anggota yang bertugas dengan penggunaan skuter ini akan dapat memberi respons lebih cepat selain kawasan rondaan yang luas dalam masa singkat.

Jelas beliau, setiap insiden yang berlaku di lapangan terbang adalah sangat sensitif dan selalu mendapat perhatian negara dan seluruh dunia seperti mana yang berlaku seperti kes pembunuhan warga Korea Utara beberapa tahun lalu walaupun bukan melibatkan mangsa dan suspek dalam kalangan warga tempatan.

"Kejadian terbaharu ini menggambarkan satu insiden boleh berlaku di mana-mana tetapi kebetulan berlaku di KLIA.

"Jadi apa-apa boleh berlaku di lapangan terbang kerana orang awam boleh masuk tanpa kawalan ketat, tidak seperti lapangan terbang di negara lain," ujarnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi, pada Ahad di Balai Ketibaan KLIA, suspek iaitu Hafizul Hawari, 38 giat diburu polis selepas melepaskan dua das tembakan dari jarak dekat yang menyasarkan isterinya.

Bagaimanapun, satu das tembakan tersasar dan satu lagi telah mengenai seorang pengawal peribadi kepada isteri suspek.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!