Kes tembak di KLIA: Polis rekod keterangan 11 saksi

Hussein (duduk, tengah) pada sidang akhbar di IPD KLIA pada Isnin. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
Hussein (duduk, tengah) pada sidang akhbar di IPD KLIA pada Isnin. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SEPANG - Polis telah merekodkan 11 keterangan individu untuk siasatan kes lelaki yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, keterangan saksi itu membabitkan mangsa dalam kejadian itu termasuk mereka yang terkena balingan mercun oleh suspek, Polis Bantuan serta doktor yang merawat mangsa di lokasi serta di hospital.

Menurutnya, selain itu polis juga akan memanggil beberapa saksi lain termasuk yang terlibat dalam urusan perniagaan, ahli keluarga dan beberapa individu lain untuk membantu siasatan.

"Setakat ini usaha buru suspek masih dijalankan dan kita percaya dia (suspek) masih dalam negara selain menempatkan anggota untuk menjejakinya di lapangan.

"Saya seru seperti mana saranan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman (Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain) agar penama itu tampil ke balai polis terdekat serah diri bagi memudahkan semua pihak," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA di sini pada Isnin.

Mengulas dakwaan yang tular di media sosial mengatakan terdapat penglibatan individu lain, tegas Hussein, tiada penglibatan suspek lain.

Jelasnya, ini berdasarkan pengesahan melalui keterangan saksi yang boleh sahkan identiti suspek.

"Kita juga mengesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan penama yang lepaskan tembakan di KLIA itu adalah suami kepada mangsa iaitu Hafizul (Harawi).

Artikel Berkaitan:

"Tiada lain daripada itu. Buat masa ini siasatan dapati dia bergerak solo," ujarnya.

Dalam pada itu, Hussein turut mengesahkan mangsa iaitu pengawal keselamatan yang terkena tembakan berada dalam keadaan stabil.

"Mangsa terima beberapa siri rawatan dan doakan mangsa segera sembuh," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi, Ahad, suspek berusia 38 tahun telah melarikan selepas melepaskan dua das tembakan dengan menyasarkan terhadap isterinya yang sedang menunggu ketibaan jemaah umrah.

Bagaimanapun, tembakan dari jarak dekat itu telah mengenai pengawal peribadi wanita itu dan dilaporkan parah.

Siasatan awal polis percaya kejadian adalah bermotifkan perihal peribadi antara suspek dan isterinya.