2 lelaki mencurigakan mundar-mandir sebelum lelaki Israel didakwa

Lelaki Israel Avitan Shalom yang ditahan memiliki enam pucuk pistol dan 200 butir peluru di sebuah hotel di sini bulan lepas, akan didakwa atas pertuduhan senjata api di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi Jumaat. Foto Bernama
Lelaki Israel Avitan Shalom yang ditahan memiliki enam pucuk pistol dan 200 butir peluru di sebuah hotel di sini bulan lepas, akan didakwa atas pertuduhan senjata api di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebelum pendakwaan kes berkaitan senjata api membabitkan seorang lelaki Israel di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat berlangsung, dua lelaki yang kelihatan mencurigakan telah diarah untuk menjalani pemeriksaan badan, oleh pihak polis.

Ia bermula apabila seorang daripadanya yang memakai kemeja berlengan panjang, bertanya kepada seorang anggota daripada Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), mengenai prosiding membabitkan Avitan Shalom.

Sementara itu, lelaki kedua yang memakai kot, mendakwa seorang peguam bagi mewakili mangsa bagi kes lain.

Lelaki pertama kelihatan mundar-mandir di laluan mahkamah sebelum ditegur oleh kakitangan bahagian keselamatan mahkamah dan memintanya beredar.

Bagaimanapun, lelaki tersebut enggan berganjak dan mengambil gambar pengamal media bersama pasukan keselamatan yang menunggu, sebelum Mahkamah Sesyen dibuka.

Sementara peguam itu mendakwa telah menghubungi pihak pendakwaan bagi mendapatkan permohonan untuk mengikuti prosiding terbabit namun tetap tidak dibenarkan masuk kerana tidak mempunyai pas kebenaran.

Pihak pendakwaan ketika ditemui, mengesahkan menerima panggilan berkenaan namun tidak dapat mengesahkan kebenaran dakwaan lelaki itu.

Pada Khamis, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, seorang lelaki warga Israel yang ditahan di ibu negara kerana memiliki enam pistol dan 200 peluru pada 27 Mac lalu akan dituduh di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, puluhan media termasuk jurugambar memenuhi lobi mahkamah bagi mengikuti prosiding terbabit.

Kedua-dua lelaki tidak memasuki galeri awam mahkamah sesyen, ketika pendakwaan dilakukan terhadap Avitan.

Pada pagi Jumaat, Avitan, 38, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan memiliki 158 peluru dan memperdagangkan enam pistol, dua minggu lalu.

Sebelum ini, pihak polis mendedahkan suspek ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang dan menemui enam pistol antaranya SIG Sauer, Smith, Wesson serta Glock selain 200 peluru, pasport dari Perancis yang digunakannya untuk memasuki Malaysia dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac lalu termasuk pasport Israel.

Isnin lalu, seorang suri rumah warga tempatan, yang dikaitkan dengan kes penjualan senjata api kepada seorang warga Israel, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Klang atas satu pertuduhan memiliki pistol jenama LUGER, hujung bulan lalu.

Suaminya pula membuat pengakuan sama, tidak bersalah atas satu pertuduhan menyedari pemilikan senjata haram itu oleh isterinya kerana berada bersamanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!