Lelaki Israel mengaku tidak bersalah perdagang senjata api

Avitan Shalom mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan berhubung kes memiliki senjata api, dua minggu lalu. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
Avitan Shalom mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan berhubung kes memiliki senjata api, dua minggu lalu. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki warga Israel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas dua pertuduhan memiliki 158 peluru dan memperdagangkan enam pistol, dua minggu lalu.

Avitan Shalom, 38, yang beralamat di Bnei Brak, Israel, mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim, Tasnim Abu Bakar.

"Saya faham puan hakim, tidak bersalah," kata Avitan yang memakai baju T berwarna hitam berseluar khaki.

Suspek dihadapkan ke mahkamah atas dua pertuduhan memiliki 158 peluru dan memperdagangkan enam pistol, dua minggu lalu. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
Suspek dihadapkan ke mahkamah atas dua pertuduhan memiliki 158 peluru dan memperdagangkan enam pistol, dua minggu lalu. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB

Semasa pertuduhan pertama dibaca, tertuduh yang dikawal ketat empat anggota polis dari tiga penjuru, didakwa memperdagangkan enam pistol jenis Glock 19 USA, Sig Sauer P320SP, Cougar 8000 FT, Glock 17 Gen4 Austria, N&P 9C Smith & Wesson Spring Field MA USA dan Stoeger Cougar 8000F.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, antara jam 6.46 petang, 26 Mac hingga 6 petang, 28 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang daripada enam kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm, mengandungi lapan peluru, dan tiga kotak Bullet Master Co Ltd (150 peluru), pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Artikel Berkaitan:

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Suspek dikawal ketat oleh anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pada Jumaat. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
Suspek dikawal ketat oleh anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pada Jumaat. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam tidak mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin kerana kesalahan itu berada di bawah pertuduhan yang tidak boleh dijamin.

Peguam, Navinjit Singh yang mewakili tertuduh, tidak membantah perkara itu.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 21 Mei depan.

Selain Mohamad Mustafa, pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim dan Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim sementara pembelaan turut dihadiri peguam, Jeffrey Ooi.

Sementara itu, Navinjit ketika ditemui di luar mahkamah berkata, beliau tidak boleh mendedahkan sama ada terdapat pihak yang menghubungi firma guamnya untuk mewakili tertuduh.

Isnin lalu, seorang suri rumah warga tempatan, yang dikaitkan dengan kes penjualan senjata api kepada seorang warga Israel, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Klang atas satu pertuduhan memiliki pistol jenama LUGER, hujung bulan lalu.

Suaminya pula membuat pengakuan sama, tidak bersalah atas satu pertuduhan menyedari pemilikan senjata haram itu oleh isterinya kerana berada bersamanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!