Lelaki Israel, suami isteri berdepan hukuman mati

Razarudin.
Razarudin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Israel dan pasangan suami isteri warga tempatan yang ditahan kerana disyaki memiliki senjata api bakal berhadapan hukuman mati jika disabit kesalahan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia kerana kertas siasatan terhadap kesemua individu itu dibuka di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

"Sebelum ini, semasa penangkapan terhadap lelaki warga Israel pada 27 Mac lalu, siasatan dijalankan mengikut Akta Pasport 1966, namun siasatan dijalankan terhadap kesalahan yang lebih berat.

"Begitu juga dengan pasangan suami isteri yang berusia 42 dan 40 tahun itu, siasatan turut dijalankan mengikut Akta Senjata Api 1971," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, di sini, pada Selasa.

Razarudin berkata, mengikut kesalahan di bawah Akta Senjata Api 1971, mana-mana individu yang didapati bersalah boleh dihukum mati.

"Pada masa ini kita masih menjalankan siasatan secara terperinci ke atas ketiga-tiga suspek.

"Kesemua mereka masih ditahan reman untuk siasatan lanjut bagi membolehkan polis mengenalpasti motif sebenar tujuan pemilikan senjata api berkenaan," katanya.

Beliau berkata, lelaki warga Israel direman sehingga 7 April manakala reman terhadap pasangan suami isteri tempatan akan berakhir pada 5 April ini.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang proses susulan untuk sambung reman akan dipohon sekiranya pihak polis masih memerlukan masa untuk melengkapkan siasatan," katanya.

Pada Jumaat, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, polis turut menemui enam pistol termasuk SIG Sauer, Smith dan Wesson serta Glock selain 200 butir peluru susulan penahanan suspek warga Israel di sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini.

Turut dijumpai, dua pasport dimiliki lelaki berkenaan iaitu pasport Perancis yang digunakannya untuk masuk ke Malaysia dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac lalu serta satu pasport Israel.

Melalui soal siasat, suspek mendakwa datang ke negara ini untuk mencari seorang individu yang juga rakyat negaranya untuk dibunuh kononnya berkaitan isu keluarga, namun polis tidak mempercayai dakwaan itu.

Pada Sabtu, media melaporkan sepasang suami isteri diberkas polis di bazar Ramadan dekat Kuala Selangor pada Jumaat dipercayai membeli senjata api di Thailand sebelum menjualnya kepada suspek.

Menurut sumber, pasangan itu dipercayai membeli senjata itu dari Thailand sebelum diserahkan kepada suspek.

Dua suspek masing-masing berumur 42 dan 40 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota JSJ Bukit Aman di bazar Ramadan di Kuala Selangor pada jam 7.15 malam.

Polis turut menemukan sepucuk pistol dalam sebuah beg galas dalam kereta Honda Jazz di kediaman mereka yang terletak di Kuala Selangor.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28