ETS terkandas: Penumpang terjejas dapat pemulangan tambang penuh

Gambar hiasan. Foto Bernama
Gambar hiasan. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan pemulangan penuh tambang kepada penumpang yang tidak meneruskan perjalanan akibat gangguan perkhidmatan tren elektrik (ETS) pada Selasa.

KTMB dalam satu kenyataan berkata, penumpang yang membeli Pelan Takaful Premium juga boleh membuat tuntutan insurans berkenaan.

Menurutnya, KTMB memohon maaf atas kesulitan dialami penumpang susulan gangguan perkhidmatan ETS di antara Kamunting dan Bukit Merah.

"Kesulitan ini amat kami kesali dan penumpang yang tidak meneruskan perjalanan, boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh.

"Penumpang terkesan diminta untuk menghantar permohonan ke emel callcenter@ktmb.com.my.

"Bagi penumpang yang membeli Pelan Takaful Premium, ejen Khidmat Pelanggan kami akan menghubungi penumpang selewat-lewatnya Jumaat, 12 April ini atau penumpang boleh membuat tuntutan dengan menghubungi Etiqa Claim Assist 010-368 7829 atau e-mel kepada support@goinsure.com.my, " katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Katanya, selepas menerima dokumen tuntutan yang lengkap, pihak takaful akan memproses tuntutan dan membuat bayaran dalam masa yang ditetapkan.

Pada Selasa, tular di media sosial pengguna perkhidmatan berkenaan terkandas lebih sejam susulan gangguan perkhidmatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu KTMB memaklumkamln, gangguan perkhidmatan tersebut disebabkan oleh talian elektrik terputus dan membataskan komunikasi kapten untuk membuat pengumuman kepada penumpang.

"Kru tren bertugas telah mengambil langkah untuk membuat pengumuman di setiap gerabak bagi menyampaikan maklumat berkenaan situasi yang berlaku.

"KTMB juga telah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada penumpang yang terkesan sebagai pemakluman," katanya.

Kenyataan itu menjelaskan, lokomotif bantuan telah dihantar namun gagal untuk menyelamatkan tren ETS yang terkandas.

"Pemindahan penumpang ke tren ETS bantuan terpaksa dilakukan dengan dibantu oleh kru tren dan kakitangan KTMB yang dihantar ke lokasi.

"Selain itu, para penumpang juga turut diberikan 'refreshment' apabila tiba di Stesen Bukit Mertajam dan Butterworth," katanya.

Katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28