Maybank, CIMB mohon maaf kerana gangguan perkhidmatan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Dua bank tempatan iaitu Maybank dan CIMB memohon maaf di atas gangguan perkhidmatan yang berlaku sehingga menjejaskan pengguna.

CIMB dalam satu kenyataan mengesahkan terdapat gangguan perkhidmatan pada Isnin, antara jam 2.45 petang hingga 5 petang yang memberi kesan kepada CIMB Clicks, CIMB OCTO, FPX, transaksi MyDebit dan Kredit serta Terminal Layan Diri.

Selepas itu jelasnya, semua perkhidmatan telah dipulihkan pada jam 5 petang pada hari sama.

"Malangnya, gangguan yang sama muncul semula awal pagi ini (Selasa) tetapi telah ditangani dengan CIMB Clicks dan CIMB OCTO sudah tersedia pada jam 10 pagi dan dengan semua perkhidmatan dipulihkan pada awal petang.

"CIMB Bank ingin meyakinkan pelanggan bahawa sistem perbankan teras dan data pelanggannya kekal selamat dan utuh, serta komited untuk mengukuhkan daya tahan dan masa operasi platformnya.

"Bank benar-benar memohon maaf kepada pelanggan atas kesulitan ketika rakyat Malaysia bersiap sedia untuk menyambut musim perayaan dan berterima kasih kepada pelanggan CIMB atas kesabaran dan pemahaman mereka," menurut kenyataan itu pada Selasa.

Sementara itu, Maybank memaklumkan berlaku gangguan perkhidmatan pada Jumaat lalu, sekitar jam 9.20 malam.

Susulan itu katanya, ia menjejaskan urusan kad debit, perbankan dalam talian dan perkhidmatan ATM.

Artikel Berkaitan:

Isu itu telah menghalang pelanggan daripada membuat pembayaran dalam talian serta di premis perniagaan untuk sementara waktu.

"Sejurus selepas menyedari isu tersebut, pasukan teknikal kami telah berusaha untuk menyelesaikan dan memulihkan perkhidmatan secepat mungkin.

"Perkhidmatan yang terjejas telah beransur pulih dan beroperasi dengan sepenuhnya pada jam 11:34 malam. Semua transaksi pelanggan juga telah diurus dan diselesaikan.

"Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dihadapi oleh pelanggan kami akibat isu yang tidak dijangka ini dan ingin mengucapkan terima kasih atas kesabaran dan pemahaman mereka," jelasnya.

Maybank juga memaklumkan bahawa pada masa ini kesemua perkhidmatan dan aplikasi beroperasi seperti biasa.

Sekiranya pelanggan memerlukan sebarang bantuan, mereka boleh menghubungi Khidmat Pelanggan kami melalui PM (Mesej Peribadi) di media sosial atau talian 1-300-88-6688.

"Dalam era digital hari ini, Maybank memahami bahawa kebolehpercayaan dan keselamatan sistem pembayaran elektronik adalah amat penting.

"Kami ingin memberi jaminan kepada pelanggan dan pihak berkepentingan kami tentang komitmen berterusan Maybank dalam menjana pengalaman dan kepuasan pelanggan bertahap tinggi," katanya.

p>Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28