Program GET diteruskan, kadar premium lebih kompetitif - Petra

Petra
Petra
A
A
A

PUTRAJAYA - Program Tarif Elektrik Hijau atau Green Electricity Tariff (GET) akan diteruskan bagi tahun 2024 dengan tawaran kuota 6,600GWj dengan kadar premium 10sen/kWj untuk pengguna voltan rendah dan 20sen/kWj bagi pengguna voltan sederhana dan tinggi.

Program GET merupakan inisiatif strategik kerajaan yang menawarkan bekalan elektrik yang dijana daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) kepada pengguna elektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang berhasrat untuk mengurangkan jejak karbon.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan sejak diperkenalkan pada tahun 2021, Program GET telah berjaya membekalkan secara kumulatif sebanyak 6,762 GWj bekalan elektrik hijau kepada 2,461 pengguna dalam pelbagai kategori.

Menurutnya, ia membantu penggguna memenuhi komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) khususnya dari aspek penghindaran pelepasan gas rumah kaca (GHG) melalui penggunaan tenaga elektrik hijau.

‘Berikutan sambutan yang menggalakkan dan pengiktirafan antarabangsa, Petra bersama Suruhanjaya Tenaga telah meneliti semula pengoperasian dan prinsip asas langganan bagi mengekalkan keyakinan pengguna ke atas program GET,” menurut kenyataan itu.

Petra berkata, selaras dengan tuntutan umum komitmen ESG sebagaimana yang diperlukan oleh syarikat korporat, kerajaan telah memutuskan supaya pengguna yang melanggan Program GET tahun 2024 tidak akan dikenakan caj Imbalance Cost Pass Through (ICPT) untuk unit tenaga sebenar yang digunakan.

"Tarif baharu GET bagi tahun 2024 ditetapkan pada kadar 10sen/kWj bagi pengguna kediaman dan pengguna bukan kediaman voltan rendah (tarif Perdagangan B, Perindustrian D, Perlombongan H, Pertanian Spesifik F serta Lampu Jalan G dan G1) dan 20sen/kWj bagi pengguna bukan kediaman voltan sederhana dan tinggi (tarif Perdagangan C1, C2, C3 & C4, Perindustrian E1, E2 dan E3, Perlombongan H1 dan H2 serta Pertanian Spesifik F1 & F2) berbanding kadar 21.8sen/kWj untuk tahun 2023,” menurut Petra.

Menurut kementerian itu, langganan boleh dilakukan mulai 3 Mei 2024 melalui portal myTNB dan pengguna boleh melakukan backdate subscription untuk tempoh bermula 1 Jan 2024.

Artikel Berkaitan:

"Pilihan backdate subscription akan diberikan untuk langganan yang dibuat pada 3 Mei 2024 hingga 31 Mei 2024 sahaja,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Petra memaklumkan lock in period langganan GET sehingga 31 Dis setiap tahun dan pembaharuan langganan GET adalah secara automatik setiap tahun untuk tempoh setahun sekiranya tiada pemberhentian langganan dilakukan.

"Pendapatan daripada pelaksanaan program ini akan digunakan untuk merancakkan lagi usaha peralihan tenaga negara untuk meningkatkan kapasiti TBB seperti pelaksanaan Skim Insentif Solar Rakyat atau Solar for Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS) yang diperkenalkan baru-baru ini,” menurut kementerian itu dan memaklumkan perincian program ini boleh didapati di laman sesawang TNB.

Dengan ketetapan ini, Petra yakin syarikat korporat di Malaysia akan mempunyai keyakinan yang lebih tinggi terhadap Program GET memandangkan proses penawaran dan pengendalian GET telah mematuhi prinsip dan kriteria kelestarian khususnya dari aspek penjanaan dan pembekalan elektrik hijau.

Menurut Petra peningkatan langganan GET mampu memberikan nilai tambah dalam menyokong usaha peralihan tenaga negara melalui pembangunan dan peningkatan kapasiti baharu TBB dalam pembekalan elektrik negara untuk memenuhi keperluan ESG sektor korporat. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28