'Kami bahagia, bersyukur tinggal di rumah anak yatim'

Fauziah (dua dari kanan) dan Alice (kanan) menyampaikan sumbangan dan duit raya kepada anak-anak Anak-anak yatim dan asnaf dari Rumah Raudhatul Al-Faeez, Gombak.
Fauziah (dua dari kanan) dan Alice (kanan) menyampaikan sumbangan dan duit raya kepada anak-anak Anak-anak yatim dan asnaf dari Rumah Raudhatul Al-Faeez, Gombak.
A
A
A

KUALA LUMPUR- “Saya bahagia dan bersyukur dapat tinggal di Rumah Raudhatul Al-Faeez, Gombak ini, sebab di sinilah saya dapat pelbagai ilmu sehingga membolehkan saya sambung pengajian ke universiti.”

Demikian luah seorang penghuni rumah berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Izzat, 23, ketika ditemui pada satu majlis berbuka puasa di sebuah pusat beli-belah di sini baru-baru ini.

Katanya, sepanjang kehidupannya di rumah berkenaan, pelbagai pihak termasuk pentadbir memberi layanan yang cukup baik selain membantu dari sudut kewangan.

“Saya masuk ke rumah ini atas kapasiti anak asnaf, saya mula jejakkan kaki ke sini sejak umur 13 tahun.

“Saya faham tujuan ayah menghantar saya ke sini, kerana di rumah kami serba kekurangan kerana ayah hanyalah seorang pemandu taksi dan ibu suri rumah sepenuh masa,” katanya.

Jelasnya, peluang dan ruang yang diberi pihak rumah itu digunakan sebaik-baiknya sehinggalah dia mencapai keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang bagi melanjutkan pelajaran di sebuah universiti terkemuka di negara ini.

“Saya rasa kemungkinan saya tidak dapat berada di tahap ini sekarang tanpa bantuan ‘rumah’ ini,” katanya.

Seorang lagi penghuni yang mahu dikenali sebagai Haikal, 17, pula berkata, banyak perkara positif yang dia dapat sepanjang berada di rumah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Anak-anak yatim dan asnaf dari Rumah Raudhatul Al-Faeez, Gombak diraikan di Nu Sentral sempena Aidilfitri.
Anak-anak yatim dan asnaf dari Rumah Raudhatul Al-Faeez, Gombak diraikan di Nu Sentral sempena Aidilfitri.

“Rumah ini ibarat syurga berteduh kami, mereka yang tinggal di sini diberi layanan yang cukup baik.

“Siapa kata, tinggal di rumah ini akan jadi teruk, insya-ALLAH perkara itu tidak akan berlaku di sini,” katanya.

Sementara itu, Aidil, 18, berkata, kemudahan dan kelengkapan yang serba lengkap di rumah berkenaan membuatkan suasana di sana amat kondusif.

“Kami saling bantu membantu di sini, tiada istilah layanan berbeza-beza.

“Kami seperti sebuah keluarga besar yang cukup serba serbi dan hidup dalam suasana yang harmoni,” katanya yang bercita-cita menyambung pengajian dalam bidang kulinari.

Terdahulu hampir 30 anak asnaf dan yatim serta penjaga dari rumah berkenaan diraikan oleh NU Sentral dan menerima sumbangan serta duit raya daripada pihak pusat beli-belah tersebut.

Hadir sama, Pengurus Besar Jabatan Pajakan dan Pemasaran, Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), Fauziah Mohd Azali; Ketua Peruncitan untuk NU Sentral, Alice You dan Pengetua Rumah Raudatul Al-Faeez, Zahrina Saat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!