Maqis, Kastam Johor gagalkan usaha bawa masuk karkas babi

Pegawai Maqis melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kontena mengandungi karkas babi berkenaan. - Foto Maqis Johor
Pegawai Maqis melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kontena mengandungi karkas babi berkenaan. - Foto Maqis Johor
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Negeri Johor dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Johor menggagalkan cubaan membawa masuk karkas babi tanpa permit dari Singapura Ahad lalu.

Menurut Pengarah Maqis Johor, Edie Putra Md Yusof, karkas yang dianggarkan seberat 22 tan dengan anggaran nilai hampir RM600,000 itu dikesan hasil penahanan sebuah lori di bay pemeriksaan import Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

“Hasil pemeriksaan lanjut, kita turut mendapati konsainan tersebut tidak memiliki sebarang dokumen seperti Permit Import MAQIS dan Sijil Kesihatan Veterinar.

“Oleh itu, perkara tersebut merupakan kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11 (3) Akta yang sama kerana mengimport tanpa permit import Maqis.

“Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Untuk rekod, pihak Maqis turut menahan seorang pemandu lori berusia 29 tahun dan kelindan berusia 27 tahun.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka dibebaskan setelah keterangan dan siasatan lanjut dijalankan.

Dalam masa sama pihak Maqis sentiasa menjalankan penguatkuasaan undang-undang yang diperluaskan di semua pintu masuk negara bagi memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian.

Artikel Berkaitan:

Ia demi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikro-organisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!