Rampas 4 negeri PN dengan syarat tiada ‘cah keting’ - Mat Sabu

Datuk Seri Mohamad Sabu ketika menyampaikan Pidato Presiden sempena Konvensyen Nasional Amanah 2023 di salah sebuah hotel di sini pada Sabtu. FOTO: SINARHARIAN/ MOHD RAFIQ REDZUAN
Datuk Seri Mohamad Sabu ketika menyampaikan Pidato Presiden sempena Konvensyen Nasional Amanah 2023 di salah sebuah hotel di sini pada Sabtu. FOTO: SINARHARIAN/ MOHD RAFIQ REDZUAN
A
A
A

KLANG - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Perpaduan mampu merampas kembali empat negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya akan datang sekiranya semua parti gabungan bersatu dan tidak mengamalkan budaya ‘cah keting’.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, budaya tidak sihat itu perlu ditolak semua parti dalam kerajaan yang ada hari ini untuk memastikan usaha mengekalkan pentadbiran akan terlaksana.

“Dengan kerjasama erat kita (semua) dalam parti perpaduan (saya yakin kita) dapat rampas kembali empat negeri (yang ditadbir) PN (tetapi dengan) syaratnya perpaduan dikekalkan.

“Kita saling membantu, bukan cah keting. Ini harapan kita (kerana dari situ) perpaduan akan lahir,” katanya ketika menyampaikan Pidato Presiden sempena Konvensyen Nasional Amanah 2023 di salah sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja turut mengulangi keyakinan Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu mengekalkan pemerintahan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

“Kita perlu sama-sama galas dan pertahankan (Kerajaan Perpaduan) bukan sahaja untuk Parlimen ke-15 ini tetapi perlu kekalkan keutuhan serta kesinambungan kerajaan untuk melangsungkan pentadbirannya dalam sesi ke-16 nanti, insya-ALLAH,” katanya.

Sementara itu, konvensyen berkenaan turut dihadiri Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Terdahulu, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu tiba kira-kira jam 9.15 pagi bagi menyampaikan Pidato Presiden.

Konvensyen yang berlangsung tiga hari bermula Jumaat menjadi tumpuan susulan akan diadakan pemilihan Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah sesi 2023-2026.

Artikel Berkaitan:

Mohamad dan Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof antara yang akan merebut jawatan dalam pemilihan kali ini.