Peguam Negara dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah AIAC Malaysia

Ahmad Terrirudin
Ahmad Terrirudin
A
A
A

PUTRAJAYA - Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) Malaysia, demikian menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini.

BHEUU dalam kenyataan turut mengumumkan pelantikan bekas Pengerusi Bursa Malaysia Bhd yang juga Pengarah Bukan Eksekutif Media Prima Bhd, Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen sebagai Timbalan Pengerusi.

Pelantikan itu susulan pemeteraian Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Tuan Rumah (HCA) pada 20 Feb lepas antara Kerajaan Malaysia dan Pertubuhan Perundingan Undang-Undang Asia-Afrika (AALCO).

Menurut BHEUU, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dengan konsultasi bersama Setiausaha Agung AALCO Dr Kamalinne Pinitpuvadol, Setiausaha Agung AALCO telah bersetuju dengan pelantikan itu.

BHEUU memaklumkan Lembaga Pengarah AIAC akan turut dianggotai ahli lain dari dalam dan luar negara yang berpengalaman luas merentasi pelbagai bidang serta sektor awam dan swasta

Ahli yang dilantik ialah Ketua Pengarah BHEUU Zamri Misman, Datuk Philip Chan Hon Keong (Bekas Pengamal Undang-Undang/Pengarah Urusan), Stephen Fietta KC (Pengamal Undang-Undang Awam Antarabangsa) dan Andrea Carlevaris (bekas Setiausaha Agung Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa ICC).

"Lembaga Pengarah AIAC akan memainkan peranan semak dan imbang secara menyeluruh dalam struktur tadbir urus, pentadbiran dan pengurusan AIAC selain daripada menyumbang pandangan, cadangan serta nasihat strategik bagi mengukuhkan daya saing AIAC yang akan diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif baharu yang bakal dilantik

"Lembaga Pengarah AIAC juga akan bertanggungjawab dalam merangka dasar-dasar dan strategi penting bagi meningkatkan aktiviti dan standard perkhidmatan AIAC,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut BHEUU, perjanjian tambahan yang ditandatangani adalah selaras dengan keputusan Jemaah Menteri berkaitan hala tuju dan penambahbaikan struktur pentadbiran serta pengoperasian AIAC melalui tadbir urus pengurusan yang lebih telus, efisien dan teratur.

"Ia berlandaskan konsep pengasingan bidang kuasa bagi mengukuhkan kedudukan AIAC setanding dengan institusi-institusi timbang tara antarabangsa yang terunggul di persada dunia.

"Inisiatif hala tuju dan penambahbaikan struktur pentadbiran AIAC yang dipersetujui Jemaah Menteri menekankan aspek tatakelola baik serta mekanisme semak dan imbang selaras dengan matlamat Kerajaan MADANI yang komited untuk mengangkat kedudukan Malaysia dalam bidang penyelesaian pertikaian alternatif di persada antarabangsa,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pasukan khas antara BHEUU bersama AIAC turut ditubuh bagi maksud penambahbaikan kepada Akta Timbang Tara 2005 [Akta 646] serta Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2012 [Akta 746].

"Konsultasi bersama pihak-pihak berkepentingan kini dilaksanakan secara berperingkat bagi mendapat maklum balas dan cadangan daripada agensi, badan pengamal serta institusi berkenaan,” katanya.

Selain itu, BHEUU memaklumkan Jawatankuasa Protem bagi Mahkamah Timbang Tara AIAC yang dianggotai pengamal bidang penyelesaian pertikaian alternatif terkemuka dari dalam dan luar negara akan ditubuh dalam masa terdekat ke arah merealisasikan agenda penubuhan Mahkamah Timbang Tara AIAC yang sedang dilaksanakan secara berfasa.

"Melalui inisiatif yang sedang giat dilaksanakan secara holistik dan komprehensif ini, Kerajaan MADANI berharap AIAC sebagai sebuah institusi antarabangsa dan bebas di bawah naungan AALCO akan terus cemerlang sebagai hab ADR utama pada peringkat domestik dan antarabangsa sekali gus terus mempromosikan Malaysia sebagai tempat penyelesaian timbang tara pilihan utama. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28