Kertas siasatan Dr Akmal dirujuk Peguam Negara minggu depan

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Polis akan menghantar kertas siasatan berkaitan kes melibatkan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung isu stoking tertera kalimah ALLAH kepada Peguam Negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan berkaitan kes ini masih dijalankan dengan lanjut.

"Kertas siasatan berkaitan Dr Muhamad Akmal sedang dilengkapkan dan dalam masa lima hari kertas siasatan tersebut akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara bagi tindakan selanjutnya," katanya pada Sabtu.

Pada Jumaat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Ketua Pemuda UMNO, itu disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 berhubung isu stoking tertera kalimah ALLAH.

Razarudin dilaporkan berkata, pihaknya menerima dua laporan berkaitan ucapan dan tindakan Dr Akmal berhubung isu terbabit.

Siasatan dilakukan PDRM dibuat selepas menerima dua laporan polis berkaitan ucapan dan tindakan individu berkenaan berhubung isu stoking tertera kalimah ALLAH yang dijual di KK Super Mart.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Sebelum itu, Dr Muhamad Akmal mengesahkan beliau ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu pada pagi Jumaat setelah tular video penahanannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Sabah.

Artikel Berkaitan:

Menurut Exco Melaka itu, beliau sepatutnya dijadualkan untuk memberi keterangan di IPD Dang Wangi di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!