Ahli Parlimen Batu Pahat dilantik Pengerusi IKMa

Dari kiri; Onn, Ahmad Norihan dan Mustaffa Kamil.
Dari kiri; Onn, Ahmad Norihan dan Mustaffa Kamil.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar telah dilantik sebagai Pengerusi Institut Koperasi Malaysia (IKMa) berkuat kuasa 1 Mei ini.

Pengumuman itu dibuat Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Selain Onn, Ewon turut melantik bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Malaysia, Datuk Ahmad Norihan Jalal sebagai Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan bekas Pengerusi Akademi Pelatihan, Penerangan dan Penyelidikan Selangor (APSEL), Mustaffa Kamil Ayub sebagai Pengerusi Lembaga Amanah Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) berkuat kuasa 15 Mac lalu.

“Saya yakin pelantikan Datuk Ahmad Norihan, Mustaffa Kamil dan Onn akan meneruskan kepimpinan dan memacu kecemerlangan dalam merancakkan agenda keusahawanan dan koperasi negara.

“Ini selaras dengan hasrat kerajaan ke arah pembangunan Malaysia Madani. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Selain berkhidmat sebagai ahli Parlimen, Onn Abu Bakar sangat aktif dalam masyarakat dan terlibat sepenuh masa dalam bidang politik dan perniagaan.

Beliau memperoleh ijazah dalam kejuruteraan awam dari Oita National College di Jepun dan pernah berkhidmat di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Datuk Ahmad Norihan pula telah melalui satu perjalanan kerjaya yang cemerlang terutamanya sebagai bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Permulaan kerjayanya bermula di dalam Tentera Darat pada 15 Mei 1987 sebagai Ketua Platun di 302 Batalion Infantri (AW), kemudian bertukar ke Kor Risik DiRaja dan ditugaskan ke Bahagian Staf Perisikan Pertahanan.

Sejak itu, tempoh perkhidmatannya diwarnai dengan khidmat cemerlang yang telah melayakkan beliau memegang jawatan penting di pelbagai peringkat Tentera Darat dan Angkatan Tentera Malaysia.

Sementara Mustaffa Kamil merupakan anak kelahiran Kampong Gajah, Pasir Salak, Perak memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Genetik dan Ijazah Sarjana Sastera (Sains Politik) di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28