[VIDEO] Enam rakan buat projek bersih kubur bermodalkan RM50

A
A
A

KUALA NERUS - Enam rakan sebaya memilih untuk mengambil upah membersihkan tanah perkuburan di sekitar daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dengan hanya bermodalkan RM50.

Projek berkenaan disertai Tengku Haqimi Putra, Tengku Hamidi Hafizzudin Md Din, Ahmad Mustaqim Ishak, Muhamammad Arif Azmi, Muhammad Lokman Sabidi dan Muhammad Fahmi Roslan yang masing-masing berusia 22 tahun.

Menurut Tengku Haqimi, idea itu tercetus selepas dia diminta untuk membantu membersihkan kubur sepupunya yang terletak di Tanah Perkuburan Sheikh Ibrahim di Ladang, Kuala Terengganu pada pertengahan Februari lalu.

Kerja-kerja membuang kotoran dan pasir pada binaan kubur dilakukan bagi memastikan cat baharu melekat dan lebih tahan lama.
Kerja-kerja membuang kotoran dan pasir pada binaan kubur dilakukan bagi memastikan cat baharu melekat dan lebih tahan lama.

Katanya, bermula dari situ dia mula mengumpul modal dan mengajak beberapa rakan yang sama-sama belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Negara untuk menyertai projek berkenaan.

"Saya mula kumpul modal dalam RM50 untuk beli cat dan berus sebelum menambah beberapa lagi peralatan lain selepas perkhidmatan ini mendapat sambutan.

"Kerja bersihkan kubur ni sebenarnya tak ramai orang buat. Bagi saya ia bukan sekadar kerja kerana pada masa yang sama boleh beramal. Ia sebenarnya bergantung kepada rajin dan malas serta terpaksa tahan dalam cuaca panas dan hujan.

"Buat masa ini antara cabaran kita ialah cuaca panas dan keadaan kubur yang hendak dibersihkan. Jika terdapat banyak pasir tebal pada binaan kubur ia perlu dibuang untuk pastikan cat baharu tidak mudah tertanggal," katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Tengku Haqimi (kanan) dan Tengku Hamidi Hafizzudin mengecat dua kubur di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Tok Beng di Kuala Nerus.
Tengku Haqimi (kanan) dan Tengku Hamidi Hafizzudin mengecat dua kubur di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Tok Beng di Kuala Nerus.

Pelajar semester empat jurusan juruukur binaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, disebabkan mereka masih bergelar pelajar, kerja-kerja membersihkan kubur dilakukan pada waktu lapang dan hujung minggu.

"Kalau kelas ada pagi saya akan mula keluar lepas Asar saya akan mula buat kerja-kerja bersih kubur sehingga jam 6.30 petang atau 7 malam.

"Tapi kadang-kadang kalau kubur tu agak rumit dan banyak kerja perlu dibuat, pernah juga sampai kami beberapa kali berbuka puasa atas kubur.

"Untuk hujung minggu pula saya dan kawan-kawan akan keluar bermula matahari terbit sampai jam 11 tengah hari. Biasa kalau kerja belah pagi kami akan bersihkan dulu kubur yang banyak. Misalnya untuk seorang pelanggan yang tempah untuk bersihkan lima kubur,"ujarnya.

Tengku Haqimi (kiri) bersama rakannya, Tengku Hamidi Hafizzudin membersihkan dua buah kubur di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Tok Beng di Kuala Nerus.
Tengku Haqimi (kiri) bersama rakannya, Tengku Hamidi Hafizzudin membersihkan dua buah kubur di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Tok Beng di Kuala Nerus.

Tengku Haqimi memberitahu, sejak Februari hingga April ini mereka menerima tempahan untuk membersihkan 37 buah kubur selepas perkongsian mengenai perkhidmatan ditawarkan itu tular di media sosial.

"Setakat ni paling lama bersih kubur dalam tiga jam dan paling sekejap satu jam. Dari segi bayaran pula kami ambil dalam RM60 untuk cat dan bersih satu kubur. Kalau banyak lagi yang perlu dibuat kita ambil dalam RM70 hingga RM75.

"Tempahan untuk bersih kubur ni biasanya kami dapat dari orang yang tinggal di luar Terengganu yang meminta kami bersihkan kubur keluarga mereka yang telah meninggal dunia di sini," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!