Dua projek dalam perhatian kerajaan Persekutuan

Kon Yeow (tengah) meninjau kucing yang dipamerkan di PIC Fiesta 2024 pada Sabtu.
Kon Yeow (tengah) meninjau kucing yang dipamerkan di PIC Fiesta 2024 pada Sabtu.
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang kini sedang memfokuskan dua projek utama iaitu Projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua dan Projek Air Perak-Pulau Pinang berikutan ia adalah projek yang berkepentingan rakyat.

Sehubungan itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berharap agar kerajaan Pusat membantu kerajaan negeri untuk melaksanakan dua projek berkenaan.

Menurutnya, kedua-dua projek berkenaan sudah memasuki peringkat perbincangan yang mana, ia telah mendapat perhatian daripada kerajaan negeri dan juga Pusat.

"Dua projek ini merupakan fokus utama kerajaan negeri dan juga kerajaan Pusat, malah semalam (Jumaat), ketika Taklimat Pembangunan Pulau Pinang kepada Perdana Menteri, saya telah membangkitkan berhubung kedua-dua projek ini.

"Apa yang menggembirakan, PM amat prihatin dengan kedua-dua projek ini. Ini bukan kali pertama dua projek ini disentuh oleh Anwar malah beliau sudah tahu kerana setiap kali mesyuarat di peringkat Pusat, saya akan dibangkitkan mengenai projek masa depan Pulau Pinang ini," katanya selepas melancarkan 2nd World Cat Federation Penang International Cat (PIC) Fiesta 2024 di Spice Arena di sini pada Sabtu.

Kon Yeow menambah, kerajaan negeri berharap perbincangan tersebut akan membuahkan hasil bagi pelaksanaan dua projek berkenaan.

"Dengan kehadiran beberapa Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Kementerian Air, Tenaga dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dilaporkan kedua-dua projek ini dalam perhatian kerajaan Pusat.

"Ia sedang dibincangkan dan harap perbincangan ini akan membuahkan hasil untuk pelaksanaan projek tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menjawab soalan mengenai dana, Kon Yeow berkata, kedua-dua projek itu boleh dilaksanakan menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta (Private Finance Initiative-PFI) atau penswastaan.

"Walau pun tidak melalui peruntukan daripada kerajaan Pusat, ia boleh dilaksanakan menerusi penswastaan dan kaedah pelaksanaan itu boleh dirunding," katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai Projek Air Perak-Pulau Pinang, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri berharap keputusan daripada perbincangan itu akan dibuat.

"Bagi Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua pula, ia terbuka untuk reka bentuk yang sesuai dan ia dalam peringkat perbincangan.

"Terima kasih kepada PM kerana kerajaan Persekutuan menghargai sumbangan Pulau Pinang dalam pembangunan negara khususnya dalam bidang ekonomi dan industri yang mencatatkan angka yang baik.

"PM juga bersetuju bahawa Pulau Pinang sebelum ini tidak berada dalam satu kerajaan yang sama, maka negeri ini sentiasa dipinggirkan kerana peruntukkan yang diberikan kurang daripada apa yang Pulau Pinang sumbangkan," katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, pada masa ini Pulau Pinang mempunyai lebih 100 keluarga yang masih berada di paras bawah garis kemiskinan.

"Apabila PM tahu mengenai bilangannya yang kecil beliau meminta keluarga ini dapat dikeluarkan daripada garis kemiskinan.

"Beliau berharap ini (mengeluarkan keluarga di bawah garis kemiskinan) dapat dilakukan dengan secepatnya supaya kita boleh isytiharkan Pulau Pinang sudah capai sifar miskin tegar.

"Sebenarnya di Pulau Pinang, kita ada skim ekonomi saksama di mana kita menambah pendapatan keluarga, supaya mereka tidak lagi dalam kategori di bawah garis kemiskinan," katanya.

Pada Jumaat, Anwar menjangkakan Pulau Pinang akan mencapai sifar kemiskinan tegar menjelang 1 Jun tahun ini.

Anwar berkata, ini kerana, kerajaan sentiasa mengutamakan bantuan untuk golongan berpendapatan rendah dan mereka di bawah garis kemiskinan tegar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!