Ingat kosa kata bahasa Arab tanpa tekanan

Hafiz
Hafiz
A
A
A

SHAH ALAM - Aplikasi pendidikan Think Quran menjadikan pelajar tahfiz memahami kosa kata bahasa Arab dengan cepat dan seronok.

Bagi guru bahasa Arab Maahad Tahfiz Al Quran An Najihah (MATAN) Nilai, Negeri Sembilan, Hafiz Zaini berkata, elemen dalam aplikasi itu yang mudah dan mesra pengguna mencetuskan minat pelajar untuk menggunakannya.

“Setakat yang kita cuba kepada pelajar, mereka dapat mencari maksud dan mengingati kosa kata bahasa Arab dengan cepat tanpa sebarang tekanan.

“Menerusi fitur-fitur seperti liga dalam aplikasi, saya berasa pelajar-pelajar amat terdorong untuk terus menggunakan aplikasi ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabat Think Osem Sdn Bhd di sini baru-baru ini.

Menurutnya, dalam situasi sekarang, teknik yang menyokong pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab agak terhad.

Jadi dengan adanya Think Quran ujarnya, ia berkesan untuk mencapai tahap pemahaman dan mengingati setiap baris ayat yang ada di dalam al-Quran.

“Sebenarnya kami sudah lama mencari kaedah baharu yang mesra pelajar supaya menarik minat mereka untuk menguasai bahasa Arab dengan baik. Apabila ada Think Quran ini, ia memang sangat sesuai.

“Kini kami menggunakan aplikasi itu untuk pembelajaran tambahan rasmi tahfiz. Mereka kini tidak lagi meneruskan teknik menghafaz dengan cara yang lama,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hafiz yang juga guru Penolong Kanan MATAN memberitahu, maklum balas daripada ibu bapa pelajar juga adalah amat menggalakkan.

Ujarnya, ibu bapa menyokong penuh usaha sekolah bagi meningkatkan pembelajaran bahasa Arab dengan efektif.

“Mudah-mudahan pelajar dapat meningkatkan tahap penguasaan bahasa Arab mereka dengan Think Quran ini selain boleh memahami al-Quran dengan lebih baik,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28