Pelajar tahfiz boleh manfaatkan aplikasi Think Quran

MOHD ZAWAWI
MOHD ZAWAWI
A
A
A

SHAH ALAM - Pelajar tahfiz boleh belajar sendiri bahasa Arab dan berulang kali dengan menggunakan aplikasi pendidikan Think Quran.

Pengetua Maahad Tahfiz Al Quran An Najihah (MATAN), Nilai, Negeri Sembilan, Mohd Zawawi Aman berkata, pelajar di pusat pengajiannya sangat teruja menggunakan aplikasi tersebut yang mempunyai elemen permainan dengan pembelajaran al-Quran dan tidak membosankan.

“Selama ini mereka hanya fokus kepada menghafal ayat al-Quran, namun agak sukar untuk mengingat.

“Dengan Think Quran, saya dapati ia sangat berguna bagi membantu pelajar-pelajar mengingati dengan cepat, selain aplikasi itu sangat mudah digunakan,” katanya ketika ditemui di pejabat Think Osem Sdn Bhd yang membangunkan aplikasi itu di sini, baru-baru ini.

Menurut Mohd Zawawi yang juga Pengerusi MATAN, Think Quran memberikan alternatif menarik buat 80 orang pelajar di pusat pengajian berkenaan.

Ujarnya, walaupun pelajar di pusat pengajian itu tidak dibenarkan menggunakan telefon pintar, namun mereka disediakan sebuah makmal untuk belajar menggunakan Think Quran.

“Apa yang saya lihat, mereka sangat seronok kerana belajar menerusi visual yang interaktif dan bukan hanya sekadar alat menghafal.

“Biasanya pelajar habis menghafaz semua juzuk baru belajar bahasa Arab tetapi dengan adanya Think Quran, mereka boleh menguasai dan mengingati dalam satu masa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, Think Quran merupakan satu pendekatan baharu buat pelajar mahupun sesiapa sahaja untuk mendalami ilmu agama dan mempertingkatkan prestasi pelajaran mereka dalam bacaan al-Quran.

Katanya lagi, aplikasi berkenaan bukan hanya membantu memahami al-Quran tetapi juga memahami peringatan ALLAH SWT untuk umat Islam menghayati isi terkandung di dalamnya.

“Semoga aplikasi ini menjadi satu pendekatan baharu terutama buat tahfiz-tahfiz lain juga bagi memudahkan pembelajaran bahasa Arab.

“Think Quran adalah cara yang sangat efektif untuk mencapai tahap pemahaman dan mengingati kosa kata yang terdapat di dalam al-Quran,” ujar beliau.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28